Oleh Fhatihah Zakinan
PUTRAJAYA : Umat Islam di Malaysia dinasihatkan supaya menunggu sahaja pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) yang sudah menjadi amalan tradisi saban tahun.
Ia berikutan, tular di media sosial berhubung dakwaan berkemungkinan perayaan tarikh 1 Syawal berlaku pada 2 Mei depan, sebaliknya bukan 3 Mei 2022 seperti tertera di kalendar ketika ini, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, hanya PMBRR selaku pihak berkuasa yang diamanahkan Majlis Raja-Raja pada malam berkenaan, bertanggungjawab dalam menentukan tarikh rasmi Hari Raya Aidilfitri.
Justeru, beliau menjelaskan, aktiviti cerapan (memerhati dengan penuh minat) rasmi di seluruh negeri di Malaysia bagi penentuan awal Syawal 1443H atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini akan dilaksanakan di 29 lokasi, pada 29 Ramadan 1443H bersamaan 1 Mei 2022, petang Ahad.
Katanya, ia tertakluk berdasarkan hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi ditetapkan.
“Aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulama, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
“Data rukyah (melihat anak bulan) yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu, semalam.
Hakimah berkata, Malaysia menggunakan kaedah Rukyah dan Hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Katanya, kaedah itu adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui semua negeri.
Terdahulu, tular isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini mendakwa umat Islam perlu bersedia perayaan mungkin berlaku lebih awal, yang memetik sumber daripada Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di negeri berkenaan.
Penetapan itu dipercayai dibuat berdasarkan perkiraan syarat kenampakan hilal (anak bulan) mengikut kaedah imkanur rukyah (kebolehnampakan) tahun ini menggunakan format baharu.