Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Sebuah dron nano sekecil tapak tangan, Nano UAV mencuri perhatian pengunjung Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Perkhidmatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, Rabu lalu.
Bersaiz lebih kompak, sekitar lapan sentimeter (cm), dron bernilai lebih RM800,000 seunit atau USD165,000 itu mampu terbang setinggi dua kilometer (km) pada jarak sekurang-kurangnya 3km, dalam tempoh 25 minit.
Dron itu dikatakan berupaya digunakan di lapangan untuk tujuan pengintipan dan pengesanan musuh dalam mod senyap, dari jarak selamat.
Ini kerana, ia dilengkapi kamera berkualiti tinggi bersama ciri pandangan malam (NGV) yang sesuai dijalankan dalam pencahayaan gelap.
Selain itu, ia merangkumi fungsi untuk menghalang isyarat dan sistem ‘guidance avoidance’.
Teknologi dron nano itu dibangunkan di China, dan dipasarkan oleh syarikat tempatan iaitu Delta Masis (M) Sd Bhd.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Delta Masis (M) Sdn Bhd, Masri Muhammad, berkata, dron berkenaan turut dilengkapi pelan laluan pulang bagi memastikan ia tidak hilang kawalan atau sesat semasa operasi.
“Dron yang telah dipamer di 54 negara ini mendapat perhatian banyak pasukan keselamatan negara-negara ini,” katanya.