spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Dilema ketum, keadilan buat polis

- Advertisement -spot_img

Oleh Tun Puteh Wanti

Urusan ketum ini harus kekal status quo di bawah Akta Racun 1952 yang dikuatkuasa oleh Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM sudah ada unit penguatkuasa sendiri, selama ini mereka pantau farmasi dan mengeluarkan senarai berkala tentang ubat-ubatan yang dikategori sebagai Akta Racun 1952. Kenapa sekitar tahun 2006, polis mula diarah bertindak terhadap penguatkuasaan ketum?

Sebagaimana sumpah setia polis untuk berkhidmat kepada negara mereka tidak pernah menolak tugasan termasuk dalam isu menangani ketum ini.

Mengapa pula menambah beban anggota polis terutama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ? Sekarang ini pun mereka berhempas pulas menangani ancaman kartel dadah dalam dan luar negara.

Tangkapan dadah bukanlah mudah, banyak taktik dan helah pengedar dadah berlaku dan perlu kawalan ketat yang berterusan terhadap barang kes dan orang kena tangkap. Mereka telah cukup lelah untuk menangani pelbagai variasi dadah sintetik ketamine dan lain lain.

Sememangnya mereka adalah wira kerana tak akan menolak sebarang tugasan yang mengancam negara tapi berlaku adillah kerana ketum ini bukanlah dalam skop akta mereka.

Dari segi pembuktian ke mahkamah pula , mengambil kira jangka masa kes dadah lain. Mampukah air rebusan ketum bertahan lebih 2 bulan tanpa berubah kandungan dan rasa apa bila hendak dikemukakan sebagai barang kes ke hadapan hakim? Bagaimana jumlah timbangan daun basah masa ditangkap dan lepas daun itu kering dalam stor? Besar ke stor jabatan Kimia dan stor polis untuk menyimpan bahan ini bersaing dengan dadah narkotik lain?

Daripada banyak senarai Akta Racun 1952, hanya ketum sahaja yang menjadi tumpuan penguatkuasaan polis. Mereka tidak tangkap pengusaha kosmetik tiruan, pemasangan pendakap gigi tanpa tauliah, rawatan pemutihan kulit tanpa tauliah, penjual filler besarkan payudara, bahan asid terlarang yang berlambak di pasaran terbuka dan secara online. Adakah ketum mangsa “banned mentality”?

Berbalik kepada isu ketum, adakah sahih dan telah diwartakan pokok ketum Mitragyna Speciosa kepada senarai Akta Dadah Berbahaya 1952? Parlimen belum lagi buat keputusan meminda ketum ke Akta Dadah Berbahaya.

Secara logiknya, laporan lengkap kajian mestilah dilakukan oleh agensi bertauliah milik negara iaitu Pusat Racun Negara di Pulau Pinang, ataupun mana-mana universiti awam yang bertauliah dengan makmal dan tenaga pengajar yang diiktiraf.

Pada tahun 2006, Timbalan Menteri KDN, Datuk Johari Baharom mengepalai kempen haramkan ketum kerana sebelum itu beliau mendapat laporan dari polis bahawa dalam banyak operasi tangkapan penagih didapati mereka hanya membawa bungkusan air daun ketum.

Adakah kempen berterusan tolak ketum ini kerana hendak beri laluan kepada kempen Methadone yang dikatakan mampu menggantikan ketagihan kepada dadah? Peruntukan methadone ketika itu mencecah RM1 bilion, jauh berbeza dengan kos ketum yang boleh dipetik dan direbus sendiri.

Program Methadone diperkenal tahun 2005, tahun 2006 Johari dilantik Timbalan Menteri KDN dan tahun 2007, Johari dilantik sebagai Yang DiPertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

Polis melaporkan kepada menteri mendakwa air dan daun ketum perlu diletakkan dibawah penguatkuasaan pihak polis agar mereka boleh mengambil tindakan terhadap penagih-penagih yang ‘menganjing’ anggota penguatkuasa di sekatan jalan raya dan di kawasan operasi dadah ketika zaman itu.

Air ketum popular dikalangan penagih dadah sekitar 2003 kerana meminum air ketum menghilangkan gejala ketagihan dadah.

Tapi masalah budak-budak mat pet ini bila mereka dah ada duit, mereka tetap mahu cari dadah ice, syabu, ketamin dan lain-lain untuk khayal lagi. Minuman ketum hanya bersifat menghilangkan rasa ‘craving’ pada dadah.

Sebenarnya air ketum jika diambil dengan disiplin ia akan menghilangkan kehendak kepada dadah yang mahal harganya.

Apa-apa yang diambil berlebihan tetap mudarat, begitu juga Methadone. Analoginya jika kapcai berkuasa tinggi disalahguna untuk merempit, adakah motorsikal itu yang diharamkan. Itulah sikap ‘banned mentality’.

Dalam hal ini berlaku dua perkara, mereka boleh pulih dan terus berubat dengan daun yang boleh dicari sekitar kampung sahaja.

Isu kedua pula, kartel-kartel dadah atau sindiket akan kehilangan pelanggan mereka.

Mereka menanggung rugi kerana sia-sialah segala kos dan wang perlindungan dibayar bagi kawasan-kawasan tertentu tapi jualan tidak dapat dilakukan.

Pihak Menteri merangkap Ahli Parlimen telah mencadangkan polis boleh bertindak atas Akta Racun 1952 sekaligus ketum kini dianggap sama bahaya dengan ganja dan bahan dadah lain.

Tetapi dari segi Perlembagaan ia belum dimasukkan dalam Akta Dadah. Kenapa bebankan polis dengan Akta Racun? Baik sekarang kita mahu selesaikan masalah.

Ketum kekal sebagai Akta Racun 1952, segala urusannya di bawah Bahagian Farmasi ,mereka boleh berkerjasama demgan agensi bertauliah milik kerajaaan lain memberi kebenaran mengeluarkan tanam, proses, kepada pusat kajian di bawah pengawasan kerajaan.

Untuk bantu keseragaman agensi lain boleh dilibatkan Pengerusi RISDA Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin pernah cadangkan ketum sebagai ganti tanaman alternatif pada tahun 2016.

Memetik laporan Berita Harian pada tahun itu, RISDA akan mendapatkan kebenaran kerajaan menanam pokok ketum bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini. Zahidi berkata RISDA mendapat permintaan tinggi untuk mendapatkan bekalan ketum daripada farmasi di Amerika Syarikat dan Eropah. Seharusnya cadangan ini diperhalusi dan beroperasi seperti Lembaga Tembakau Negara.

Pusat Racun Negara turut menyokong cadangan ketum untuk tujuan R&D bidang perubatan dan sudah menghantar permohonan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kelulusan.

Kita sudah menganiaya tumbuh-tumbuhan ini, nikmat Tuhan untuk manusia sejak tahun 2006 dan hanya 2016 ada cadangan untuk mengkaji khasiatnya.

Malangnya idea Pengerusi RISDA pada 2016 dipandang hina disebabkan publisiti kempen tolak ketum berterusan dari zaman Johari Baharom pada 2006.

Kini 2022 menyaksikan pembanguan pesat teknologi perubatan dan pengeluaran ubatan berasaskan herba dari negara luar seperti jenama Himalaya dari India yang juga banyak dijual di farmasi Malaysia, jadi kenapa tidak diteruskan kajian ketum pula?

Malaysia memiliki otak-otak saintis terbaik dunia, mereka harus diberi peluang buat kajian dan berkata atas dasar ilmu mereka. Kerajaan harus mendapatkan laporan lengkap semua pihak sebelum tindakan kuatkuasa dilaksanakan.

Allah SWT menjadikan pelbagai tumbuh-tumbuhan di dunia ini ada kegunaan kepada manusia atau alam. Pokok-pokok ini bukanlah bala daripada Tuhan. Bala sebenar adalah kejahilan kita terburu-buru dan salah gunakan tumbuhan tersebut. Nikmat Tuhan apakah lagi yang hendak kita dustakan di dunia ini.

Hanya kerana kita malas mengkaji nak jimat duit tak nak bayar kos kajian, mudah kerja elok ‘ban’ je lah, KPI pun dapat, cepat naik pangkat ini.

Di kala kita berpeluk tubuh sekarang, ada lelaki Australia telah lama cari benih dari Tanah Melayu dan telah dijadikan ladang ketum di Australia.

Siapa yang untung? Sedangkan ketum di sini memang tumbuh meliar di hutan utama dan sekunder seluruh negara.

Dalam keadaan sekarang harga daun ketum basah antara RM40 ke RM60 sekilogram. Ada laporan media menyebut serbuk kering pun cuba di bawa keluar negara dan di rampas.

Apabila tidak dikuatkuasakan oleh polis, barulah usaha menghantar bekalan pada agensi berkaitan dapat dilakukan lebih telus dan teratur . Strategi pengawalan tanaman boleh dirancang untuk di usahakan secara ladang.

Contoh, 10 kg daun basah mana mana herba, bila di keringkan hanya akan menjadi nisbah 10 :1 iaitu 1 kilogram sahaja.

Sebuah mesin ekstrak memerlukan minima 100 kg daun kering untuk sekali jalan dan ini hanya menghasilkan hanya berapa gram ekstrak sahaja.

Saintis memerlukan bekalan sekurang-kurangnya 500 kg untuk dimasukkan mesin ekstrak ketum, apabila dapat hasil ekstrak baharulah kajian klinikal boleh dilakukan. Banyak tan herba diperlukan untuk kajian mendalam dan ujian ujian klinikal.

Dalam keadaan sekarang mampukah mana-mana agensi tempatan mengeluarkan biaya membayar wang lenih RM60 sekilogram?

Bagi pihak pembekal pula, mengapa perlu jual pada saintis pada harga rendah sedangkan jika mereka rebus sendiri 100 kilogram daun basah mereka boleh memperolehi bertong-tong periuk yang air dijual pada kadar RM5 – 10 sepaket ? ( ukuran secawan air)

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases