SEBANYAK 12,017 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam berbanding 10,002 kelmarin.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 4,268,486 sejak wabak itu melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu semalam, 59 adalah kes import membabitkan 51 warganegara dan lapan bukan warganegara.
Menurutnya, 11,958 pula adalah kes tempatan membabitkan 11,394 warganegara dan 564 bukan warganegara.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 234 membabitkan 102 kes disahkan Covid-19; 132 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.
“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula adalah 131 kes membabitkan 49 kes disahkan Covid-19; 82 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – END