KOTA TINGGI : Calon Barisan Nasional (BN)/UMNO bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N34 Panti, Hahasrin Hashim berkongsi peratusan keluar mengundi masih rendah untuk menjalankan tanggungjawab mengundi pada hari ini.
Hahasrin berkata, kebanyakkan saluran peratusan undi buat masa ini secara keseluruhan menghampiri 50 peratus yang keluar mengundi bagi Pilihanraya (PRN) Johor kali ini.
“Alhamdulillah.. buat masa ini semuanya berjalan dengan lancar namun peratusan mengundi di sesetengah kawasan masih rendah. Saya sendiri tidak dapat membaca sentimen atau punca mengapa golongan belia tidak keluar mengundi.
“Masih berbaki lebih kurang dua jam saja lagi, saya berharap orang ramai keluar menjalankan tanggungjawab untuk mengundi.
“Pihak Barisan Nasional(BN) juga sudah banyak berkempen dan kini tiba masanya tanggungjawab diberikan kepada rakyat. Semoga kemenangan berpihak kepada BN,” katanya kepada WacanaKini.com
Rakyat Johor hari ini keluar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 bagi memilih kerajaan negeri baharu.
Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hari ini juga menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.
PRN Johor hari ini, adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, membabitkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.
Sebanyak 1,021 pusat mengundi bersedia membuka pintu bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.