Penguatkuasaan undang-undang syariah seperti mempersendakan agama dilihat hanya digunapakai ke atas orang awam sahaja khususnya apabila mereka menyiarkan sesuatu yang dikatakan bertentangan hukum syarak di media sosial.
Bagaimanapun penguatkuasaan ini tidak dilihat berlaku ke atas artis, selebriti, instafamous beragama Islam yang bangga mempamerkan mereka meneguk arak, memakai bikini dan perbuatan yang tidak selari sebagai sebuah negara Islam.
Ini kerana negara ini sudah ‘dicop’ sebuah negara Islam, lainlah jika negara ini mendakwa sebuah negara bebas mengamalkan apa sahaja fahaman, kepercayaan masing-masing.
Adegan-adegan panas dilihat ‘dibiarkan’ berleluasa dalam filem tanpa penerbitnya dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Tangkapan khalwat pula majoriti berlaku di hotel-hotel bajet yang berharga RM50 semalam atau ikut jam, penulis jarang sangat menerima berita jika tangkapan ini berlaku di hotel mewah.
Malah penulis yang seringkali menyertai operasi maksiat bersama penguatkuasa agama ini faham tugas mereka sebagaimana diarahkan sahaja dan bagi memenuhi KPI jawatan.
Kata mereka jika dapat tangkap ramai, banyaklah KPI dapat mungkin boleh naik pangkat kerana dapat memuaskan hati pihak atasan atau yang ada kepentingan politik dan jawatan.
Ada pegawai berkata, jika kami tak tangkap nanti orang ramai akan kata kami tidak buat kerja. Jadi seolah-olah tindakan itu diambil semata-mata untuk memuaskan hati pihak tertentu yang hanya menjadi burung kakak tua.
Tetapi sedarkah mereka implikasi ke atas tindakan itu? Adakah hukuman yang dikenakan setimpal perbuatan?
Begitu juga perihal seks dan ahli politik beragama Islam, beberapa tuduhan sebelum ini, lebih banyak yang berakhir sebagai kepentingan politik tanpa penjelasan dan tanpa penyelesaian berbanding meninggalkan kesan yang sebenar.
Oh, semput!
Ya sebagai orang awam bunyinya seperti ‘pendakwaan terpilih’ kerana penjawat hanya kejar KPI sahaja tanpa memikirkan implikasi ke atas setiap kes yang didakwanya.
Orang ramai bertanya kenapa hanya isu-isu tertentu sahaja yang didakwa tetapi penguatkuasaan tidak menyeluruh jika kata hendak beri ‘pelajaran’?
Sebagai contoh ketika ini tular di media sosial Zul Ariffin mencetuskan kontroversi apabila pelakon itu memuat naik video memaparkan beberapa babak panas dalam dalam drama terbarunya berjudul Perempuan Itu.
Menerusi video tersebut, Zul dilihat melakonkan beberapa babak panas dengan pelakon baru Siti Hariesa. Babak dimana Zul merangkul badan Hariesa dan menggendong wanita itu dari depan.
Perkongsian video tersebut ternyata mengejutkan ramai serta rata-rata netizen menyifatkan babak yang dilakonkan itu agak keterlaluan dan seperti filem lucah.
Bagaimanapun, selepas tular adegan ini, kita akan lihat lambakan pakar agama ini akan mengulas isu ini bagi memperlihatkan mereka peka isu dan bimbang ‘dikutuk’ jika diam.
Beberapa hari sahaja ‘panas’ selepas isu ini diam, akan timbul lagi isu lain kerana puncanya ‘adengan melampau’ berkenaan tidak dikuatkuasakan undang-undangnya.
Begitu juga undang-undang fitnah, memang wujud tetapi mangsa yang terpaksa mengeluarkan kos untuk saman bagi mendapatkan semula reputasinya.
Bagaimana jika mangsa fitnah miskin dan tidak mampu?
Bagaimana dengan video yang turut viral tempoh sama dengan video Zul Ariffin, berdurasi 30 saat memaparkan sekumpulan tabligh dengan selawat dan qasidah Habib ‘Ya Hanana’, mengaburi kesesatan kumpulan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 3 Apr 2000.
Di mana silapnya kita. Pihak berkuasa agama diam sahaja?
Yang peliknya, apabila netizen meninggalkan komen video mengenai bukti Habib Syech mengetuai ya hanana itu baiah dengan tarikat sesat, di laman Facebook, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hanya diberi maklum balas ‘bukti video adakah mencukupi dalam menjatuhkan hukum?- admin’.
Bagaimana dengan video tular di media sosial yang sudah disunting pihak tertentu dengan niat jahat untuk menjatuhkan reputasi individu lain.
Soalan sama, adakah bukti video mencukupi dalam menjatuhkan hukum mengikut undang-undang Islam?