KANGAR – Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis yang berlangsung selama tiga hari membuka tirai hari ini (Jumaat) dengan pengisian pelbagai aktiviti bermanfaat kepada Keluarga Malaysia.
Diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, program hari pertama bermula dari 9 pagi hingga 10 malam itu menyajikan pelbagai aktiviti terbuka untuk semua peringkat umur dan latar belakang seperti pameran dan perkhidmatan kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan majlis yang mempunyai objektif memastikan rakyat di semua peringkat memahami dan menghayati aspirasi Keluarga Malaysia.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat saya bersama-sama dengan Keluarga Malaysia di Perlis bagi meneruskan Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia
pada hari ini.
“Aspirasi Keluarga Malaysia telah dirasmikan di ibu negara akhir tahun lepas dan Kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan siri jelajah di peringkat negeri bermula dengan Johor awal bulan ini dan
Perlis hari ini.
“Seperti siri jelajah pertama, pelbagai program telah disediakan untuk memberi kemudahan dan kefahaman mendalam kepada semua mengenai konsep Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan ‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘Kebersamaan’ (Common Ground) dan‘Kesyukuran’ (Contentment).
“Saya yakin setiap lapisan masyarakat sudah sebati dengan konsep Keluarga Malaysia yang fokus utamanya ialah menyatu-padukan rakyat ke arah kesejahteraan ekonomi, kestabilan politik seterusnya memulihkan negara dalam situasi mencabar ini,” katanya.
Tambah beliau, siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis ini bertujuan untuk meningkatkan usaha penyebar-luasan konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia agar mudah difahami dan dihayati semua.
Sejak Oktober 2021, Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menubuhkan Skuad Keluarga Malaysia dengan kekuatan 10,000 anggota yang bertugas menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19.
Antara yang dinanti-nantikan oleh pengunjung adalah pemeriksaan kesihatan percuma oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jualan Keluarga Malaysia.
Berdasarkan atur cara AKM hari ini, program merangkumi beberapa segmen seperti pentas utama, pentas jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pentas Citarasa Keluarga Malaysia, Sukan Rakyat, E-Sukan serta tapak pameran agensi dan usahawan.
Aktiviti menarik di pentas utama ialah persembahan Kombo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama artis tempatan, cabutan bertuah anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Program Forum Ihya Ramadan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).