spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

PRN Johor : Tun M kecam Muhyiddin gagalkan usaha tolak Najib

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

JOHOR BAHRU : Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Terlalu tamak mencari keuntungan sehingga menyebabkan kehilangan sesuatu yang sudah dimiliki.

Mungkin pepatah itu sesuai dengan kenyataan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan perbuatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengejar jawatan Perdana Menteri sehingga membantutkan usaha untuk menolak Datuk Seri Najib Razak.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, Muhyiddin sanggup membelakangi pengundi dan rakan Pakatan Harapan (PH) demi mengejar cita-citanya.

Menurut satu kenyataan, Dr Mahathir berkata, kononnya rakyat Johor antara yang berjaya menyekat kemaraan Najib namun, malangnya dek kerana perbuatan Muhyiddin menyebabkan PH tumbang.

“Sebenarnya, kita semua, termasuk pengundi Johor telah berjaya menyekat Datuk Najib dari terus menyamun harta rakyat apabila dia (Najib), UMNO dan BN ditolak dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Malangnya kejayaan itu terbantut apabila presiden parti Bersatu Tan Sri Muhyiddin yang mahu menjadi Perdana Menteri, sanggup membelakangkan pengundi dan rakan di dalam Pakatan Harapan untuk mencapai cita-citanya,” katanya dalam kenyataan itu, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, disebabkan perbuatan itu, beliau dan beberapa rakan yang berpegang kepada prinsip dan menolak kerjasama dengan UMNO telah disingkir, sebelum ini.

Rentetan peristiwa itu, beliau dan rakan-rakan menubuhkan parti Pejuang kerana BERSATU pimpinan Muhyiddin dilihat sudah tidak lagi mempertahankan matlamat perjuangan.

“Kami percaya Muhyiddin akan dikhianati oleh puak kleptokrat. Saya telah ingatkan bahawa bekerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah UMNO seumpama menunggang harimau dan dia akan akhirnya dibaham,” katanya.

Akhirnya, kata Dr Mahathir, Muhyiddin sendiri dikhianati oleh UMNO, hilang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan sahaja.

Katanya, kleptokrat kini berkuasa menukar kerajaan selain mendakwa mereka tidak menghiraukan nasib rakyat. Justeru, Muhyiddin agak terlewat untuk melawan UMNO semula.

Bagaimanapun, Dr Mahathir seolah memberi petunjuk bahawa kenyataan itu hanya untuk meraih undi rakyat kepada parti Pejuang.

“Terpulanglah kepada parti lain menolak kleptokrat. Pejuang tolak UMNO, kerana tidak ingin kleptokrat kembali memerintah.

“Jika semua pihak yang tolak kleptokrasi memberi sokongan kepada Pejuang, maka kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat, dapat dikembalikan semula,” katanya.

Dr Mahathir mendakwa, rakyat di Johor tidak dapat menerima UMNO yang menyokong seorang penyamun malah kerana terdapat kuasa-kuasa bukan politik yang cuba mempengaruhi rakyat untuk mempertahan Najib dan UMNO.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases