Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memuji urus tadbir kerajaan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana benar-benar mengutamakan rakyat.
Ini kerana, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Sabtu termasuk pindaan Akta 342 membuktikan komitmen kerajaan terhadap rakyat.
Perdana Menteri mengumumkan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) mengenakan denda RM100,000 ke atas individu dan RM500,000 kepada syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 tidak akan dibentangkan.
Justeru, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menzahirkan ucapan terima kasih dan bangga dengan kenyataan Perdana Menteri, yang memberi jaminan pindaan Akta 342 tidak akan diteruskan di Parlimen.
“Saya amat berterima kasih kepada beliau dan mendoakan kesejahteraan beliau atas usaha yang telah dilakukan ini,” katanya menerusi kenyataannya, di sini.
Selain itu, Nadzim turut memuji langkah kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Sebelum ini, PPIM dilaporkan mengumumkan persatuan itu bersama lebih 9 juta penyokongnya akan menyokong mana-mana Ahli Parlimen yang menentang pindaan Akta 342.
“Pindaan Akta 342 adalah akta yang zalim dan tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, sesiapa yang menzalimi rakyat kami akan pastikan mereka tidak lagi kembali menjadi pemimpin di negara ini,” katanya.
Nadzim menegaskan PPIM menentang sepenuhnya usaha beberapa pihak yang mahu membenarkan pihak luar menentukan hala tuju pentadbiran negara khususnya dalam bidang kesihatan awam.
“Mengapa perlu kita membiarkan orang asing menentukan apa yang terbaik untuk negara.
“Di Malaysia kita mempunyai ramai pakar dari pelbagai kepakaran yang boleh memberi nasihat dan
cadangan kepada kerajaan mengenai kesihatan awam khususnya dalam isu menangani pandemik COVID-19,” katanya.
Nadzim berharap kerajaan pimpinan Ismail Sabri akan terus mempertahankan kedaulatan negara dan menolak campur tangan pihak luar dalam urusan tadbir urus negara ini.