Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Benarkah ‘pak guard’ atau pengawal keselamatan ketika ini, diberi gaji seperti hamba? Dakwaan ini bukan daripada orang biasa tetapi individu berkepentingan yang pernah mewakili kongres kesatuan sekerja negara.
Apakah kejadian seorang bekas pengawal keselamatan, Fairol Azman yang didakwa atas tuduhan melepaskan tembakan terhadap pekerja stesen minyak, Tarikul Islam Tarak di stesen minyak di Jalan Genting Klang, pada 2016, yang kemudian Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa bapa kepada seorang cahaya mata itu mempunyai niat jahat untuk melakukan rompakan, berpunca pekerjaannya ketika itu dibayar gaji rendah?
Bagaimana pula dengan pekerja kawalan keselamatan yang dikenali sebagai Murali Vengu berjaya mendapatkan tuntutan gaji kerja lebih masa (OT) daripada majikannya berjumlah RM58,000, yang tular di media sosial baru-baru ini, adakah kerana majikan menggajikannya seperti nilai hamba?
Sudahlah sering diherdik oleh orang awam, pengawal keselamatan dilayan seperti hamba pula apabila dipaksa bekerja tanpa gaji setimpal oleh majikan.
Justeru, mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor, mempersoal integriti majikan pengawal keselamatan yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan.
Katanya, majikan sepatutnya akur sekiranya keputusan itu ditetapkan kerajaan kerana perkara berhubung penetapan kadar baharu itu sudah tentu melalui kajian yang sudah dibuat sebelum ini.
Mengulas lanjut, katanya penetapan kadar itu juga dibuat berdasarkan perlindungan yang disediakan oleh kerajaan setelah dipersetujui di peringkat kesatuan majikan Malaysia, kongres kesatuan sekerja Malaysia, dan kerajaan.
“Syarikat (majikan) mestilah menghormati apa yang telah diwartakan oleh kerajaan, gaji minimum tidak mempunyai kategori selagi kita (majikan) diarahkan dalam apa jua sektor, dan mereka (pekerja) mesti mendapat hak sebagaimana diumumkan oleh kerajaan.
“Ini kerana, zaman pengawal keselamatan dibayar mengikut kehendak syarikat sudah tamat. Syarikat mesti faham (keputusan kerajaan), menggajikan pekerja mesti daripada pihak yang bertanggungjawab dan amanah dalam mengawal harta yang diamanahkan.
“Jika kita (majikan) tidak bayar ikut kerajaan, kita seolah memperhambakan tenaga kerja manusia yang mana tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Wacanakini.com, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) tidak bersetuju dengan pelaksanaan kadar gaji minima baharu.
Abdul Halim turut menyelar tindakan sesetengah majikan yang masih mendiskriminasi pekerja kawalan keselamatan bukan sahaja membabitkan penggajian, tetapi termasuk kebajikan dan penginapan mereka.
“Ada ‘guard’ yang terpaksa bekerja berjam-jam di dalam bilik pengawal, ada yang mengabaikan gaji lebih masa mereka, ia diskriminasi terhadap pekerja, dan ini tidak menggalakkan industri kawalan keselamatan sebagai profesyen.
“Dengan cara sebegini, pengawal keselamatan dianggap kategori kerja yang tidak mahu oleh anak tempatan kerana profesyen tiada masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Halim mencadangkan supaya majikan boleh berhubung dengan kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi membincangkan kaedah yang dipersetujui.
“Bukan maksud tak setuju bayar (RM1,500), tetapi bersetuju mengikut kaedah seperti boleh menggajikan jumlah sama mengikut gaji mingguan, harian atau jam.
“Pihak berkenaan seharusnya mengkaji lagi, selain membantah dan secara tidak langsung menaikkan kemudahan, prestasi dan prospek pekerjaan dalam negara di bahagian kawalan keselamatan, tarik minat mereka yang mahu berkhidmat sebagai pengawal keselamatan,” katanya.
Pada Februari lalu, PIKM mendesak kerajaan untuk tidak meneruskan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 dalam tempoh terdekat.
Presidennya, Datuk Seri Ramli Yusuff, dilaporkan berkata industri masih terhimpit dengan pelbagai isu kesan kegawatan ekonomi selain hutang tertunggak kerajaan berjumlah lebih RM100 juta kepada kira-kira 450 syarikat keselamatan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Anuar Abdul Manap, menyatakan saranan sama seperti mantan Presiden MTUC dengan menggesa majikan yang tidak mampu mengikut ketetapan itu boleh memohon tempoh had pelepasan kepada JTK sehingga ekonomi masing-masing kembali stabil.
“Jika mereka (majikan) tidak mampu membayar RM1,500 itu, boleh berjumpa dengan JTK nyatakan alasan kenapa tidak mampu.
“Bukan selama-lamanya (tidak bayar), mungkin dalam tempoh enam bulan atau satu tahun sehingga ekonomi syarikat kembali kukuh dan stabil. Yang mana mampu, mereka perlu bayar lah. Takkanlah kerajaan zalim sangat.
“PIKM juga sebenarnya boleh buat rayuan berdasarkan pendapatan mereka di bawah keperluan kemampuan membayar RM1,500 itu,” katanya.
Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan akan melaksanakan kadar gaji minimum berjumlah RM1,500 bermula Mei tahun ini, ketika menyampaikan ucapan penggulunganya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.