Oleh Fhatihah Zakinan
JELEBU : Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan menyerahkan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan penentuan tarikh bersesuaian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata keputusan mengenainya akan dibuat melalui mesyuarat MKT UMNO sama ada mengadakan PRU-15 wajar diadakan dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, terlebih dahulu.
Katanya, hasilnya kemudian akan diserah dan dicadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dipertimbangkan.
“Kita ada ramai komander politik seperti Presiden, Timbalan Presiden termasuk Perdana Menteri sendiri dan biarlah perbincangan dilakukan mengikut lunas dan forum sewajarnya bagi membuat keputusan.
“Saya percaya pelbagai perkara akan diperhalusi termasuk kepentingan negara dan rakyat sebelum keputusan mengadakan PRU-15 dibuat, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Back To School di pekarangan Dewan Majlis Daerah Jelebu (MDJ) di Petaling, di sini, pada Ahad.
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof dan ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, menjadi kelaziman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memanggil mesyuarat bagi membincangkan perkara berkaitan termasuk mengadakan PRU-15 sebelum atau selepas Perhimpunan Agung UMNO.
Sementara itu, mengulas kemenangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Jalaluddin berkata, BN terbukti berjaya mendapat kembali mandat rakyat.
Justeru katanya, hasil kemenangan itu bagaimanapun perlu diurus dengan baik bagi meneruskan kejayaan dalam PRU-15 nanti.
Dalam perkembangan lain, Jalaluddin yang Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, terpulang kepada Perdana Menteri, ahli jemaah menteri serta kepemimpinan tertinggi parti untuk memutuskan tindakan selanjutnya berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) Tranformasi dan Kestabilan Politik dimeterai Pakatan Harapan (PH ) September 2021 yang berakhir pada 31 Julai depan.
Ia berikutan, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini berkata, pembangkang tiada masalah meneruskan MoU itu lebih-lebih lagi selepas pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang antilompat parti diluluskan nanti.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan sebagai berkata, kerajaan pimpinan UMNO Johor perlu mendapat mandat yang lebih kukuh dan bukannya memerintah atas ihsan pembangkang.
Januari lalu, Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanah Airku, Raggie Jessy Rithaudeen sebelum ini juga dilaporkan berkata, ikut logik Hasni, peringkat persekutuan turut perlu mendapatkan mandat yang lebih kukuh dan bukannya memerintah atas ihsan PH menerusi MoU bersama kerajaan.
Katanya, Ismail Sabri perlu menghayati logik Hasni dan menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen dengan kadar segera, agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRU-15 dapat diadakan serentak serta tidak berlaku pembaziran dana rakyat.