Ada yang bertanya kepada saya isu murtad ini media tak mahu ‘highlight ke?’
Bukan tidak mahu ‘highlight’ tetapi bersediakah masyarakat dan pihak berwajib membaca pernyataan di bawah. Anda boleh setuju atau tidak tetapi ini adalah analisis kewartawanan saya.
Baik saya bentangkan.
Isu murtad ini berlaku kepincangannya di dalam perlaksanaan hukum Islam yang tidak mengikut landasan ilmu dakwah dan ilmu hikmah.
Pendekatan sekarang ialah berdasarkan hukum halal haram semata-mata dan mengikut karenah birokrasi.
Baru-baru ini kecoh mengenai tiga kanak-kanak yang dibimbangi murtad kerana mengikut agama ibunya.
Berikut adalah pengalaman saya sendiri bantu asnaf mualaf pada Februari lalu, dimana dua beranak saudara baru Cina Muslim berusia 40 dan 80 tahun.
Mereka kehilangan rumah dalam tempoh PKP serta kehilangan modal pusingan kerana perlaksanaan PKP berterusan.
Hidup atas belas ehsan Imam surau yang mengizinkan mereka tinggal di dewan masyarakat sebelah surau.
Pejabat Baitulmal Wilayah Persekutuan hanya 200 meter dari lokasi tempat mereka berteduh sepanjang empat bulan sejak tahun lalu.
Tiga hari lalu, 18 Mac 2022, bapanya meninggal dunia dan dia masih lagi menetap di dewan itu, sehingga sekarang kerana sukar melengkapkan borang-borang permohonan bantuan.
Prosidur Baitulmal masih mahu lihat kertas dengan pengesahan cop serta MyKad Islam sebagai pengesahan orang Islam dan boleh dibantu, tiada institusi yang benar-benar jaga asnaf mualaf ini.
Antara rungutan saya terima asnaf mualaf terpaksa cari duit untuk bayar Grab ke pusat pelajaran di Perkim seminggu atau dua tetapi tiada yang hubungi mereka bertanya khabar selepas tamat kursus.
Paling menbebankan golongan mualaf dan asnaf ini dalam tempoh PKP, pergerakkan adalah sukar bagi mereka yang tidak berkenderaan dan tidak mahir membuat temujanji ke kaunter, itu tidak termasuk lagi perlu mencetak borang-borang.
Agensi zakat dilihat mampu membayar kos iklan ‘billboard’ besar mendakwa mereka telah pun menyalurkan bantuan sekian-sekian banyak.
Berapa ratus ribu kos ‘billboard’ itu? Adakah kita melihat aktivis masyarakat, Ebit Lew turut memiliki ‘billboard’ yang sama saiz besarnya dan mahalnya?
Kenapa Ebit Lew dilihat lebih cemerlang dalam sumbangan bantuan malah kebaikan beliau mengundang cemburu dan fitnah terhadapnya.
Asasnya kita akui mualaf ini dapat hidayah masuk Islam tetapi banyak kes mualaf kembali murtad, kembali ke agama asal mereka secara sukarela.
Adakah cukup kita membiarkan para malaikat bergerak secara ajaibnya menghantar makan minum, tempat tinggal kepada mualaf-mualaf ini?
Kita orang Islam sendiri tidak cukup menunjukkan akhlak yang baik Islam sebenarnya kepada golongan ini.
Sama juga anak-anak orang Islam dari keluarga bercerai, adakah kebajikan dan pelajaran mereka diambil berat oleh saudara-mara seIslam lain?
Surau atau masjid mana yang ada sekarang ini mengambil tahu menziarahi, memberi pendidikan, bacaan Quran secara percuma tanpa bayaran duit duniawi pada anak-anak ini?
Sekarang ini banyak kain rentang menjual perkhidmatan ilmu hafalan Quran, semua ada harga termasuk air bacaan ayat Quran yang dijenamakan sebagai ‘Sunnah’.
Setengah pihak pula mendabik dada “Aku berjaya Islamkan orang ini, Islamkan orang itu, dah ramai dah aku Islamkan tetapi selesai sahaja dua kalimah syahadah itu dilafazkan, apa berlaku pada kehidupan si mualaf pada minggu, bulan atau tahun seterusnya?
Adakah kita masih harap kehadiran malaikat mengukuhkan iman mualaf ini? Jika dia kembali murtad maka itu adalah urusan dia dan kita pula sudah terjamin tiket syurga kerana Islamkan orang?
Kita pernah ada kes model cantik masuk Islam iaitu Felixia Yap, berduyun -duyun ucap syukur dan berbangga.
Tetapi bagaimana nasib mualaf yang lain, yang tak cantik, yang tak glamour? Asal cantik je terus cop “Bidadari kiriman Tuhan”. Habis yang tak cantik ini kiriman siapa? Kenapa anda gagal melihat mereka inilah ujian tuhan untuk melihat keikhlasan kita yang mengakui tuhan kita Paling Mulia, Paling Pemurah dan Penyayang.
Tuhan kita Paling Kaya tetapi kita masih harapkan laba duniawi dalam membantu memperjuangkan atau menegakkan agama Tuhan. Bukankah kita berdusta dengan nikmat Tuhan berikan?
Murtad dari kalangan keluarga Islam sedia ada contohnya remaja dan individu yang pertengahan usia, malah personaliti seperti Sajat pernah akui mahu murtad kerana tekanan daripada pihak berkuasa agama.
Perkembangan teknologi terutama sosial media menyebabkan idea-idea pemikiran baharu boleh disebarluaskan rentas sempadan negara terus ke telefon masing-masing, contohnya TikTok, Instagram dan Twitter.
Idea ini diterima oleh personaliti sosial media yang repost atau share. Idea scientology ini diterima instafamous dan golongan elit VIP, kita boleh lihat cara hidup mereka.
Netizen pula apabila melihat content ini terus mengepos komen berkata nista ala taliban atas lesen agama seperti pengguna kata , “kak ni haram kak, pakai camni masuk neraka, pakai camni nanti mak bapak suami masuk neraka, ahli neraka” dan sebagainya.
Sedangkan adab Islam ada menyatakan seorang lelaki jika mahu menegur wanita yang bukan muhrimnya haruslah secara berhikmah tanpa mengaibkannya.
Jarang sangatlah komen membina atau memujuk seperti beri peluang kepada perbincangan sihat, apa punca dia jadi macam itu atau cuba memahami kehendaknya.
Dalam bab media sosial pula terutama TikTok tentang perbalahan ulamak Melayu antara Wahabi dan Sunnah Wal Jamaah.
Perkara murtad tidak boleh diselesaikan dengan satu pandangan dia bukan lagi Islam.
Pemimpin Islam harus menunjukkan akhlak Islam yang baik yang tidak menyalahkan institusi yang mereka pegang.
Pembentukan akhlak di sekolah, sistem institusi agama perlu lebih ikhlas dengan orang-orang yang sanggup turun cari orang susah dari hati mereka bukan sekadar kejar jawatan Pengerusi Surau atau Masjid, AJK dan sebagainya.
Jawatan ini selalunya direbut oleh orang pencen dari khidmat awam untuk mereka rasa suci dan berpahala setelah sekian lama mereka merasakan ‘bergelumang dosa’ kerja ikut buku, ikut arahan atasan.
Gejala ‘midlife crisis’ ini menyebabkan mereka mentadbir program surau dan masjid cantik atas kertas sahaja.
Remaja-remaja daripada keluarga bermasalah tidak dicari malah mereka pula dicemuh, ‘muka ni tidak pernah tengok di masjid, kalau datang setakat pergi tandas atau mencuri la tu.
Generasi ini akan ulang tayang ‘midlife crisis’ dan mula mencari agama lain.
Mereka melihat akhlak yang dipamerkan orang agamawan tidak jauh beza atau lebih teruk dari agama lain, orang yang salahguna kuasa, rasuah masih boleh mengenakan jubah kopiah lagi, salah laku golongan ini disorok.
Justeru, apakah bacaan al-Quran itu tidak terkesan di sanubari agamawan berdasarkan akhlak yang terpamer itu?
Penulis teringat satu video lawak yang dilakonkan oleh beberapa individu didalamnya yang cuba menyampaikan senario sebenar berlaku oleh agamawan ketika ini, khususnya ahli masjid.
Dalam video berkenaan, lakonan sekumpulan ahli masjid seperti menegakkan benang yang basah apabila memburu dan ingin membunuh budak kecil hanya kerana mencuri kotak amal (tabung) masjid tanpa menyiasat terlebih dahulu.
Namun, seorang individu yang membawa watak makhluk jin yang pandai membaca dan memahami alQuran menebak kenyataan ahli masjid itu dengan membiarkan budak kecil yang juga anak yatim piatu, kelaparan.
“Aku tahu siapa budak kecil tu, dia cuma anak yatim yang kelaparan. sekarang sudah jadi anak yatim piatu. makam maknya belum kering, basah dengan bunga-bunga.
“Kalian hari ini memburunya dan membunuhnya, dimana hati nurani kalian? Dia tidak akan mencuri kotak amal dalam masjid kalau kalian tak lalai dengan kelaparannya. Kalian cuma bangga dengan mengumumkan masjid kalian dengan pembesar suara tapi tidak sedar budak yatim kelaparan berhampiran rumah kalian,” kata watak itu.
Malah, watak itu turut menyindir, agamawan hanya mengejar membangunkan masjid besar-besar, namun lalai membangunkan manusia dan umatnya.
Seperti yang pernah dikhuatiri dan ditakutkan baginda Rasulullah saw sendiri apabila masjid hanya tinggal megah dengan tiang dan bangunannya sahaja tetapi tiada manusia dan umatnya masuk ke dalamnya.
Umum sudah mengetahui, asas keperluan manusia untuk hidup adalah makanan, lapar. Jika tiada makanan, orang akan mencuri kerana orang lapar perlu makan untuk hidup.
Satu kesimpulan artikel ini adalah soal sejauh mana hati mahu ikhlas atau tidak, akuilah kepincangan yang berlaku, buang sikap suka dan mudahkan jatuh hukum.
Sebaliknya tanamkan sikap jika sipolan itu salah aku akan pujuk dia kembali ke jalan benar, aku akan laburkan harta aku untuk membantu mereka yang memerlukan kerana aku yakin aku ada Tuhan Paling Kaya, tuhan aku akan bagi ganjaran di akhirat nanti.
“Moga sebelum aku menutup mata, aku kenal erti lafaz menjadi hamba pada Tuhan Yang Esa, Penguasa Sekalian Alam dan menikmati kasih sayangNya”