Oleh Nurman Nasyriq
JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Ikhtiar BN Johor yang dilancarkan hari ini bukan janji kosong.
Sebaliknya, inisiatif tersebut ditawarkan untuk membangunkan kesejahteraan dan ekonomi negeri Johor.
Menurutnya, tawaran BN itu sudah difikir dan digarap sebaik mungkin dengan merangkumi lima teras utama membabitkan semua lapisan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Beliau yang mesra disapa Tok Mat berkata, ikhtiar itu juga merupakan usaha memastikan pembangunan Johor yang kini jauh ketinggalan selepas pernah menjadi peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Johor kini jauh ketinggalan selepas 2018 dalam pelbagai aspek akibat ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik.
“Insya-Allah ikhtiar dan inisiatif seperti diumumkan tadi, kita dapat mandat baik daripada rakyat Johor dan akan dilaksanakan kerajaan negeri yang baharu nanti.
“Ia satu usaha dan ikhtiar untuk kita membangunkan kesejahteraan dan ekonomi negeri. Ikhtiar BN Johor mampu dilaksanakan dan boleh dibuat,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, lima teras yang digariskan bertujuan mencapai dan menyokong, selain menjadikan Johor negeri maju dan didokong naratif politik matang serta stabil.
“Kita berharap rakyat menerima ikhtiar dirancang kerajaan negeri yang baharu nanti untuk terus bekerja dan menstabilkan keadaan negeri serta memakmurkan kesejahteraan rakyat,” katanya