Oleh Tun Puteh Wanti
Tanah Melayu ini dahulunya dikenali dunia kerana kekayaan budi bahasa, budi pekerti yang diterapkan oleh nenek moyang.
Adat dan adab Melayu dijunjung tinggi sebagai satu ‘perlembagaan’, ada had dan sempadan dalam tiap-tiap sesuatu perbuatan bagi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.
Kata orang tua-tua biar mati anak jangan mati adat, bukanlah bererti adat itu lebih penting dari nyawa tetapi ia memberi perumpamaan bahawa jika langgar adat dikhuatiri ia memberi kesan kepada diri dan orang lain.
Adat itu hukum yang berlandaskan kebiasaan lama, turun temurun.
Adab itu budi bahasa, pekerti yang halus dan kesopanan. Contoh adat dan adab yang diamalkan sejak dahulu kala adalah tertib menunduk dan sembah ketika menghadap pembesar negara seperti Raja-raja.
Adat sembah itu bukanlah bermakna manusia menyembah manusia, tetapi simbolik penghormatan kepada manusia yang diizinkan Illahi untuk menjadi pemimpin kepada manusia yang lain.
Dengan mematuhi adat ini, rakyat akan saling menghormati yang lebih tua atau lebih berkuasa namun ia tidaklah meletakkan rakyat itu di tempat yang bawah, kerana tanpa rakyat tiadalah rajanya.
Menerusi pemerintahan Raja Berpelembagaan dan Demokrasi, Perdana Menteri dilantik Yang diPertuan Agong atas penilaian serta potensinya mentadbir negara, dan sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk memberi mandat kepadanya.
Sehubungan itu, sebagai adatnya rakyat menghormati lantikan itu orang yang diamanahkan untuk menentukan nasib dan masa depan puluhan juta rakyat, ia bukan tugas mudah.
Namun, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengenepikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ke belakang lalu menarik tangan dan memberi laluan Datuk Seri Najib Razak untuk berada di sebelahnya telah mengguris hati rakyat melihatnya.
Rakyat masih tidak lupa dan terguris hati apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengurangkan kuasa raja dan menolak Ketuanan Melayu ketika beliau berkuasa.
Rakyat juga bangkit ketika pemimpin DAP dari Pakatan Harapan (PH) membuat kenyataan provokosi yang mencabar hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera sehingga aset Tabung Haji turut dijual.
Rakyat juga merasa diri tertindas dan teraniaya apabila mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak beradab membatalkan semua ordinan darurat tanpa perkenan YDPA bagi mengelakkan undian di Parlimen.
Muhyiddin dikatakan berbuat demikian kerana bimbang apabila dibahaskan di parlimen dan dibuat pengundian maka dikhuatiri tidak mendapat sokongan majoriti.
Parlimen tutup 12 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, bersidang kembali pada 26 Julai 2021.
Apabila adat dan adab dilanggar, apa bahananya kepada para pemimpin berkenaan? Rakyat telah menolak kerajaan PH selepas 22 bulan memerintah dan menolak kerajaan PN selepas 17 bulan berkuasa.
Bagaimanapun perlanggaran adat dan adab ini sekali lagi berlaku apabila Presiden UMNO menjatuh air muka Naib Presidennya di khalayak ramai, perbuatan dirakam dan ditularkan di media sosial.
Rakyat mempersoalkan perbuatan itu, adakah berbeza adat dan adab Melayu dengan tanah kelahiran keturunan Ahmad Zahid dari Indonesia?
Seorang ahli UMNO Pasir Gudang, Rahmat Hussain menerusi Facebook miliknya meluahkan rasa kecewa kerana Ahmad Zahid menafikan sumbangan Ismail Sabri sepanjang kempen malah ‘lupa’ mengucapkan terima kasih selepas kemenangan diraih bersama.
Rahmat mendakwa beliau sentiasa mempertahankan Ahmad Zahid walau fitnah yang dikenakan bertubi-tubi ke atas dirinya.
Beliau di bahagian tahu akan sumbangan dan sokongan yang dilakukan Ismail Sabri sepanjang kempen.
Calon, ketua bahagian, timbalan dan naib ketua bahagian sehinggalah ketua sayap-sayap di Johor tidak boleh menolak akan bantuan dan sumbangan Ismail Sabri, termasuk Puad Zarkashi, yang selama ini mengutuk dan menyerang Ismail Sabri.
“Saya yang berada di depan pentas menunggu perkataan atau ucapan terima kasih presiden parti kepada Ismail Sabri tetapi sehingga habis ucapan saya tidak mendengarnya.
“Apakah Zahid hari ini cuba menggambarkan secara terbuka bahawa sikap beliau yang lupa akan kawan yang pernah mempertahankan beliau ketika seluruh pemuda dan timbalan sendiri mendesak beliau agar berundur dan berehat kerana liabiliti dari kes-kes rasuah yang banyak sebelum ini.
“Apakah hari ini Zahid sedang cuba mengkhianati usul-usul bahagian yang mahukan Ismail Sabri sebagai “poster boy” untuk PRU15 nanti dengan menukar poster boy itu kepada Najib Razak? Apakah ahli Umno masih mahu mengulangi kesilapan sehingga kalah pada PRU14 lepas?,” kata Rahmat.
Tambah beliau, memperlakukan seorang perdana menteri yang mempunyai kuasa terhadap sebuah kerajaan seolah tidak wujud dikhalayak ramai membuktikan betapa Zahid manusia yang tidak tahu berterima kasih dan bersyukur akan ketidakupayaan beliau sebagai presiden yang dibantu sahabat sekeliling.
“Apakah beliau lupa akan liabiliti yang rakyat tidak lupa akan kes rasuah puluhan kes berada dalam perbicaraan.
“Rakyat tidak bodoh. Ahli Umno jangan terlena dari buaian kemenangan didepan mata tetapi risiko apabila seorang presiden yang menjadi liabiliti kepada parti sebenarnya sedang merisikokan sekali lagi umno kepada kekalahan total tanpa mampu lagi bangkit selepas ini.
“Hari ini saya amat kecewa dengan presiden yang rupanya sedang berkonfrontasi dengan survival politik peribadi dengan mengheret parti sebagai perisai diri.
“Saya mohon Zahid sedar dan berfikir dengan waras bahawa perbuatan beliau hari ini merupakan bayangan dan cerminan kepada sebuah hati yang rakus dan kotor terhadap rakan dan orang yang pernah membantu beliau dan parti UMNO,” katanya.
Adat dan adab juga menekankan keadilan dalam setiap perkara, apabila orang tidak berkehendakkan diri, malah merendah-rendahkan pula di khalayak ramai, maka Melayu ini tidak perlu dihalau sebaik-baiknya berundur sahaja bak kata pepatah hidung tidak mancung, pipi pula tersorong-sorong.