JOHOR BAHRU : Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang terkenal dengan slogan ‘langkah Panglima’ meramalkan parti Barisan Nasional (BN) akan menang mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac nanti.
Beliau yang berperanan sebagai bapa angkat kepada parti berusia 49 tahun di beberapa bahagian Johor berkata, ramalan itu berdasarkan gerakan jentera yang bertenaga dan kencang di ‘medan tempur’ semua Parlimen di Johor.
“Tingkatkan lagi gerakan ini, kita pasti menang dengan cemerlang.
“Kita tahu atas pagar dan sebagainya berusia 18 tahun ke atas sedang menilai sejauh mana keberanian, kerajinan dan kehebatan kita berada di lapangan.
“Dengan gerakan yang lebih rajin untuk menangkan parti pasti ada hasil yang baik juga, ini sumbangan BN untuk agama, bangsa dan negara,” katanya ketika turun menyantuni dan membakar semangat calon DUN N13 Simpang Jeram dan N.14 Bukit Naning.
Dalam pada itu, jelas Shahidan, pengundi Cina dan India juga dilihat condong memilih BN selepas serik dengan 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan lalu.
“Semua dah ada pengalaman dengan PH. Mereka nampak kehadiran BN baru enam bulan tetapi prestasi cukup cemerlang.
“Usaha pembangunan diteruskan dan BN mampu membawa perubahan tersebut,” katanya.