WASHINGTON: Pepatah kata, terlajak kata akan terima padah.
Begitulah yang berlaku apabila Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, Sabtu lalu, terlepas kata mengutuk Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Biden menggelarkan Putin ‘tidak layak jadi Presiden’ dan memberi amaran jika cita-cita Putin tidak dikawal, boleh mencetuskan semula peperangan yang pernah melanda Eropah beberapa dekad lalu.
Demi Tuhan, lelaki ini tidak boleh kekal berkuasa,” katanya sambil menyifatkan Putin mempunyai nafsu untuk ‘kekal berkuasa dan memiliki kawalan mutlak’.
Kremlin berang dengan kenyataan itu sehingga memaksa White House menjernihkan semula keadaan dan menjelaskan Biden bukan bermaksud perubahan rejim di Moscow.
White House terpaksa menyelamatkan keadaan dan memperbetulkan kenyataan.
“Maksud Biden adalah Putin tidak boleh dibenarkan menggunakan kuasa terhadap negara jiran atau wilayah itu.
“Presiden tidak membincangkan kuasa Putin di Rusia atau perubahan rejim,” kata seorang pegawai White House.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu pemberita sebagai mengulas kenyataan itu.
“Ini tidak perlu diputuskan oleh Biden. Perubahan pentadbiran hanya menjadi pilihan rakyat Persekutuan Rusia,” katanya.
Biden mengeluarkan kenyataan itu selepas membuat lawatan ke negara berdekatan Ukraine, ketika bandar Lviv dihujani bom iaitu hanya beberapa ratus kilometer dari lokasi Biden di Warsaw, Poland.
Biden malah menjadi begitu emosi apabila mendapati lebih tiga juta pelarian dari Ukraine terpaksa berpindah ke negara berdekatan.
Biden seolah-olah cuba mencurah minyak ke dalam api menyampaikan ucapan berkisar soal demokrasi dan penindasan.
Boleh dikatakan juga seperti batu api Biden berulang kali menuduh Putin tidak berlaku jujur dan menggunakan kekerasan serta penipuan maklumat.
Ucapan itu disampaikan di pekarangan Istana Diraja di Warsaw.
“Saya ingin beritahu anda perkara sebenar. Perang ini tidak layak kepada rakyat Rusia dan Putin mesti menamatkan perang ini.
Rakyat AS akan berdiri bersama rakyat Ukraine yang berani serta mahukan keamanan.
“Rusia mengancam untuk kembali ke perang berdekad-dekad yang merosakkan Eropah sebelum peraturan antarabangsa dilaksanakan,” katanya.
KEKAL TENANG
Dalam pada itu, Biden juga berusaha menenangkan negara Eropah Timur yang melahirkan kebimbangan berhubung konflik di Ukraine.
Beliau menjelaskan negara perikatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akan bersatu dan memberi amaran kepada Rusia agar tidak meluaskan pencerobohan di luar Ukraine.
Poland dan negara blok timur lama seperti Latvia dan Estonia bimbang cita-cita Putin akan merebak ke sempadan mereka.
Namun, Biden berjanji NATO akan melindungi negara anggotanya dan menghormati Perkara Lima yang menyatakan jika seseorang diserang, semua akan bertindak balas.