Oleh Fhatihah Zakinan
BATU PAHAT : Akhirnya Tun Dr Mahathir Mohamad ‘membuka mulut’ berhubung isu mantan Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan keluarga dipercayai terbabit dal skandal dana 1MDB.
Sekaligus hipotesisnya bermakna Tun M akui siasatan 1MDB belum selesai dan Datuk Seri Najib Razak bukanlah satu-satunya pelaku sebagaimana didakwa sebelum ini olehnya.
Malah beliau mengakui tidak tahu penglibatan Zeti dan keluarganya dalam isu berkenaan.
Pengakuan Tun M itu dipercayai juga atas desakan beberapa pihak berikutan Tun yang juga Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu dilihat hanya mengambil sikap berdiam diri sejak isu itu didedahkan beberapa tahun lalu.
Sehingga isu itu kembali hangat selepas saksi utama perbicaraan jenayah mantan Ketua Pelaburan Perbankan Goldman Sachs di Malaysia, Roger Ng iaitu Tim Leissner mendedahkan nama suami Zeti, Datuk Tawfiq Ayman, ketika memberi keterangan di mahkamah Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Tun menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa Zeti dan keluarganya menerima dana 1MDB.
Katanya, beliau tidak tahu mengenai perkara itu kerana ia berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
“Masa saya jadi Perdana Menteri tidak ada masalah, benda ini berlaku selepas saya letak jawatan.
“Perkara ini perlu disiasat, tentukan benar atau tidak Zeti dan keluarganya terlibat perbuatan curang ini,” katanya ketika menghadiri sebuah program di Felda Ayer Hitam di sini, pada Khamis.
Najib dalam satu hantaran dimuatnaik di Facebooknya sebelum ini mempersoalkan kredibiliti pihak media yang tidak melaporkan isu sebenar iaitu mengenai rasuah yang dikaitkan dengan Zeti dan keluarga.
“Saya pelik kenapa media mempermainkan isu pekerjaan bagi anak saya sedangkan kenyataan Tim Leissner di mahkamah termasuk tuduhan kelulusan BNM bagi 1MDB.
“Ia bagi memindah dana sebanyak AS$1 bilion (RM4.2 bilion) kepada syarikat PetroSaudi dan Good Star diberi secara serta-merta sebab suami kepada Gabenor BNM ketika itu sudah disogok.
“Yang ini, media tak mahu lapor ke?” katanya.
Wacanakini.com juga melaporkan, Presiden Parti Bumiputera Perkara Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman turut mendesak Tun dan parti Pejuang memberi respons terhadap pendedahan Leissner itu.
“Saya antara rakyat Malaysia yang percaya bahawa konspirasi 1MDB hanya melibatkan Najib dan Jho Low sehingga saya dipecat daripada UMNO sedangkan terdapat individu lain yang terlibat di dalam konspirasi ini,” katanya.
Dakwanya, ia berikutan Tun sebelum ini hanya menggambarkan seolah-olah seorang sahaja perompak, penyamun, penyangak yang bercanggah dengan kenyataan Leissner.
Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki juga memaklumkan suruhanjaya itu tidak menyiasat Tawfiq Ayman berkaitan skandal berkenaan.
Katanya, suruhanjaya itu hanya diberi tanggungjawab untuk mendapatkan semula dana 1MDB dari Singapura, sebelum ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dikatakan mengesahkan perkara itu apabila memaklumkan, Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan polis menjalankan siasatan terhadap Tawfiq, belum lengkap.
Ia berikutan, sempadan Malaysia-Singapura masih ditutup, yang mana Tawfiq dikaitkan dana 1MDB menerusi akaun bank di negara jiran itu yang didaftarkan dengan namanya.
Selasa lalu, media melaporkan, polis sudah membuat siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLA (Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) terhadap Tawfiq.
Satu kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 14 Okt 2021 dan 07 Okt 2021.
Bagaimanapun kertas siasatan telah dikembalikan semula kepada polis pada 21 Dis 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.
Polis Singapura sebelum ini dilaporkan telah memaklumkan kepada BNM mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 melibatkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.
Ia membabitkan dana yang masuk daripada akaun yang dikaitkan dengan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang didakwa menjadi dalang skandal kewangan 1MDB.
Zeti adalah gabenor BNM ketika itu.
Bulan lalu, Tawfiq kembali menjadi tumpuan selepas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Leissner mendakwa Tawfiq disogok untuk mempercepat pindahan USD1 bilion keluar dari Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Tun juga Pengerusi Pejuang berkata partinya itu belum menamakan mana-mana calon untuk menjadi Menteri Besar Johor bagi Pejuang.
Beliau berkata buat masa ini, Pejuang mempunyai beberapa calon yang bertanding yang mampu memegang jawatan Menteri Besar Johor.
“Bagi Pejuang siapa jadi calon itu bergantung siapa yang menang. Kalau bagi nama pun kalau kalah tidak boleh jadi Menteri Besar (Johor). Sebab itu tak namakan calon.
“Kita mempunyai beberapa calon yang bertanding sekarang ini yang mampu memegang jawatan Menteri Besar.
“Saya harap rakyat beri kemenangan pada kita. Pada masa itu kita akan namakan calon Menteri Besar Johor,” katanya