KUALA LUMPUR : Kes baharu harian Covid-19 dalam negara mencatatkan penurunan kepada sebanyak 22,535 kes pada semalam berbanding sebanyak 26,250 kes kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan adalah sebanyak 3,823, 571 kes.
Beliau berkata, berdasarkan jumlah kes baharu pada semalam, ia membabitkan 22,174 penularan tempatan dengan 361 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.
“Selain itu, kategori kes paling tinggi yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 13,713 kes atau 60.85 peratus, ia diikuti kategori satu (8,637), kategori tiga (72 kes ), 63 kes membabitkan kategori empat dan 50 kes bagi kategori lima.
“Daripada jumlah keseluruhan 185 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 39 kes (21.08 peratus) membabitkan individu tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, manakala 88 kes (47.57 peratus) lagi sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 58 kes (31.35 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 109 kes (58.92 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas.
“Sebanyak 53 kes lagi (28.65 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 384 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 174 kes disahkan Covid-19 serta 210 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 222 kes iaitu 103 kes disahkan Covid-19 serta 119 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
“Sementara itu, sebanyak 25,356 kes sembuh dilaporkan pada semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3, 468,888.” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga berkata, terdapat enam kluster baru dikesan dan 389 masih aktif.
“Ia menjadikan jumlah kluster dikesan di negara ini adalah sebanyak 6,881 kluster dan 6,492 kluster sudah tamat,” katanya.
sumber Harian Metro