KUALA LUMPUR: Dianggarkan dua juta penerima vaksin jenis Sinovac yang tidak mengambil dos penggalak akan hilang status lengkap vaksinasi mereka pada 1 April ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata penerima Sinovac yang belum menerima dos penggalak tidak akan dianggap sebagai vaksin penuh jika mereka berhasrat mengunjungi Singapura kelak.
“Bagi mereka menerima Sinovac, kita dapati bahawa 2.09 juta tidak menerima dos penggalak.
“Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) unjurkan mungkin ada dua juta penerima vaksin Sinovac yang berisiko untuk hilang status lengkap pada 1 April.
Saya bincang dengan Menteri Kesihatan Singapura, mereka juga pertimbangkan penerima vaksin Sinovac (berstatus) lengkap ialah tiga dos,” kata Khairy dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairy berharap penerima vaksin Sinovac boleh mengambil dos penggalak sekiranya mahu menikmati kelonggaran daripada pembukaan sempadan.
“Jika anda mahu menikmati perjalanan ke Singapura…. tiada kuarantin, anda tahu apa perlu dilakukan (ambil dos penggalak). Telefon saya (untuk) dapatkan dos penggalak,” ujarnya lagi.
Februari lalu, penerima Sinovac dan warga emas berusia 60 tahun ke atas diminta mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac dan mereka akan hilang status lengkap vaksinasi jika gagal berbuat demikian.
KKM kemudian melanjutkan tempoh sehingga 31 Mac 2022 bagi penerima vaksin Sinovac dan warga emas berumur 60 tahun untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.