Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Polis belum selesai menjalankan siasatan terhadap suami mantan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Tawfiq Ayman berhubung skandal dana 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, polis ketika ini tidak dapat melengkapkan siasatan terhadap Tawfiq.
Ia berikutan, sempadan Malaysia-Singapura masih ditutup, yang mana Tawfiq dikaitkan dana 1MDB menerusi akaun bank di negara jiran itu yang didaftarkan dengan namanya.
Mas Ermieyati berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan polis untuk membuat siasatan lanjut di Singapura, namun akan mengambil tindakan seterusnya selepas pembukaan sempadan kedua-dua negara.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada AGC pada 14 Oktober 2021 dan 7 Disember 2021.
“Bagaimanapun kertas siasatan telah dikembalikan semula kepada polis pada 21 Disember 2021 untuk beberapa tindakan siasatan lanjut di Singapura.
“Memandangkan Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dan Singapura telah ditutup sehingga kini, maka tindakan seterusnya akan diambil selepas pembukaan kedua-dua negara”, kata Mas Ermieyati.
Beliau berkata demikian ketika mesyuarat kamar khas mengenai usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan pendedahan oleh mantan pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner, terutama berkenaan BNM.
Mas Ermieyati menambah, SPRM ketika ini giat menumpukan usaha bagi mendapatkan semula aset dari negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong, melibatkan individu yang berkaitan dengan 1MDB.
Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah di Amerika Syarikat (AS), menyebut tentang rasuah melibatkan Tawfiq.
Namun dia tidak dapat mengesahkan secara bebas sama ada rasuah itu memang diberikan atau tidak.
Tawfiq kemudian menafikan dakwaan itu dan berkata dia tidak kenal Leissner dan Roger Ng, seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs yang terlibat dalam perbicaraan kes 1MDB di mahkamah AS.
Polis sebelum ini berkata siasatan akan dijalankan terhadap Tawfiq atas dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB menerusi akaun di sebuah bank di Singapura, yang didaftarkan dengan namanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA).