Oleh Nurman Nasyriq
JOHOR BAHRU – Parti Warisan mengumumkan akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, kerusi yang ditandingi mereka ialah Pekan Nenas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.
“Calon-calon yang akan bertanding adalah Hishamuddin Busri (Pekan Nenas), A. Sandra Segara (Bekok) dan Mohamed Noor Suleiman (Mahkota)
“Manakala tiga nama lagi adalah Chen Hain Kai (Johor Jaya), Lee Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu (Permas),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Calon Parti Warisan bagi PRN Johor di sebuah hotel di bandar raya ini, di sini.
Dalam sidang media kemudian, Shafie mengakui Warisan bersikap realistik bertanding di hanya enam kerusi.
“Kita tahu cabarannya bukan mudah. Tapi kita mahu memberi pilihan kepada rakyat Johor.
“Setiap parti yang bertanding nak menang. Tak guna kita bertanding banyak kerusi tapi tak menang,” katanya sambil memberitahu Warisan tidak akan mengeluarkan manifesto khas pada PRN Johor.