Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yakin rakyat Johor tidak akan memberi peluang kepada Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk memenangi sebarang kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac depan.
Mengulas mengenai dakwaan UMNO bimbang dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan MUDA di Johor, Lokman membidas ianya kenyataan yang membuang masa kerana yakin rakyat di negeri itu sedia maklum dengan Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman seorang korup malah dikelilingi pemimpin ‘bermuka’ sama.
Beliau turut yakin MUDA akan kalah di semua enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.
“Kenapa nak takut dengan MUDA. MUDA bertanding enam kerusi sahaja.. akan kalah semua kerusi.. tak ada satu kerusi pun (MUDA) akan menang.
“Dont waster our time about MUDA. (Jangan buang masa kita tentang MUDA). Presidennya pun orang muda korup, akibat dikelilingi pemimpin PH. Duit persatuan belia masuk dalam akaun BSN.
“Masih ada ‘rempit’ terpedaya dengan Tiktok dia..tetapi semua orang berbeza pandangan. Kalau ada wanita suka dia pun kita tak boleh buat apa,” seloroh tentang Syed Saddiq.
Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung di akaun Facebooknya, Lokman Noor Adam Official, baru-baru ini.
Katanya, kerjasama berkenaan sepatutnya tidak menjadi isu besar kerana sama ada AMANAH, DAP, PKR atau MUDA, mereka tetap dianggap bertanding sebagai komponen PH di semua 56 kerusi DUN Johor.
“Kita tak payah pening sangat pasal mereka. Cuma Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang kepercayaan kepada PH. Anwar yakin jika PKR bertanding atas tiket PH, lebih banyak musibah. Atas dasar itu, PKR bertanding tidak menggunakan logo PH.
“Rakyat Johor bukannya bodoh. Presiden MUDA itu datangnya daripada PH, BERSATU. yang menjanjikan bulan dan bintang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Jadi, jangan kita bazirkan undi kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahli UMNO itu turut menasihatkan orang muda khususnya yang berumur 18 tahun ke atas, supaya tidak lagi termakan dan terpedaya dengan janji manis PH.
“Jangan jadi anak muda tahun 2018. Walaupun bersemangat ingin cuba tukar kerajaan kerana kecenderungan melihat perubahan, niat itu bagus tetapi mereka ambil risiko dengan perjudikan nasib mereka.
“Kerana nakkan PTPTN dihapuskan, mereka undi PH. Akhirnya, Datuk Wan Saiful (Pengerusi PTPTN) memohon maaf tidak mampu tunaikan janji atas alasan implikasi kewangan begitu besar.
Justeru, beliau menyarankan orang muda memilih parti BN yang terbukti mempunyai trak rekod baik sepanjang 62 tahun pemerintahan.