Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : ‘Malu tapi mahu’, pernah dipopularkan oleh pelantunnya, Dina Nazir sekitar 2008.
Namun, bukan itu ceritanya.
Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru kembali pulih kesihatannya meratib mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beberapa hari lalu sekali lagi melakukan perkara sama pada surat keduanya untuk pengundi Johor, dalam tempoh minggu sama.
Tun melakukan demikian pada surat kedua yang dimuat naiknya, di hantaran Facebooknya, semalam.
Najib menerusi hantaran balasnya di Facebooknya, hari ini, turut keliru dengan pendirian Tun Mahathir kerana bukan satu, bukan dua kali namanya dipetik tetapi 10 kali di dalam isi kandungan satu setengah muka surat berkenaan.
“Tak faham dengan dia (Mahathir) ni.
Selepas surat pertamanya yang petik nama saya, dia kata dia tak sanggup ratib nama saya lagi tapi keseluruhan surat kedua dia adalah berkenaan saya.
“Nama “Najib” ditulis 10 kali dalam surat 1 1/2 muka suratnya,” kata Najib.
Tun dilaporkan, ‘mengutus’ surat kedua kepada pengundi Johor, bahawa beliau malu meratib nama Najib kerana memalukan negara, bangsa dan agama.
“Malangnya dia (Najib) sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.
Surat khabar luar negara menggelarnya “Plundering Idiot”, dalam bahasa Johor saya percaya bermaksud penyamun tongong.
“Saya akan terus ratib nama Datuk Najib ataupun sesiapa sahaja yang cuba untuk merosakkan negara dan menipu rakyat,” kata Tun.
Bagaimanapun, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, menyifatkan tindakan Tun Mahathir itu mungkin meroyan kerana beliau terhutang budi pada Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu.
“Ya, saya masih terhutang budi pada Tun sebab sokong saya untuk jadi PM (Perdana Menteri).
Mungkin dia pernah tekan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk sokong saya tapi masalahnya ialah selepas saya jadi PM, Tun asyik tekan saya untuk sokong projek-projek kroni kamu juga.
“Bila saya tolak, Tun meroyan pulak dan mula mencorak langkah untuk berkomplot dengan Muhyiddin untuk jatuhkan saya pada tahun 2014 sebelum 1MDB (1Malaysia Development Berhad) menjadi isu,” kata Najib.
Najib turut mendedahkan bahawa Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sendiri pernah mengakui Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot, di mahkamah sekali gus membongkar pendedahan itu, pada 2017.
“Anak Tun sendiri yang mengaku ini di mahkamah dan kantoikan kamu serta Muhyiddin.
“Ataupun anak kamu (Tun) menipu mahkamah masa itu? Baca ini, Tun. Apa komen Tun?;
“Saya bersetuju bahawa ayahanda saya telah berusaha untuk menjatuhkan Najib dan rancangan itu bukan bermula pada tahun 2015 tetapi lebih awal lagi iaitu tahun 2014,” kata Mukhriz dalam keterangan di Mahkamah Tinggi.”