Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meminta Datuk Seri Najib Razak tidak perlu menjaga kroninya.
Ini kerana dakwanya, beliau tidak memiliki kroni sebaliknya memiliki kebolehan untuk negara.
Menjadi tanda tanya kepada penulis adakah yang dimaksudkan Tun M ‘golongan berkebolehan’ itu termasuk sekutu politiknya yang sudah terbukti ‘menjahanamkan negara sepanjang 22 bulan era pemerintahan PH?
Mengulas lanjut penjelasan Tun M itu, beliau tidak akan membantu golongan yang tidak berkebolehan.
“Saya tak tolong orang yang tak ada kebolehan,” katanya ketika mengulas kenyataan Najib bahawa dia ditekan oleh Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri kerana tidak menjaga kroninya.
Semalam, Najib menjawab surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor dengan mendakwa bahawa pengerusi parti Pejuang itu pernah beberapa kali menarik sokongan terhadapnya kerana tidak menjaga kroninya.
Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu sering memberi tekanan kepadanya untuk memberikan projek kepada kroninya ketika dia menjadi perdana menteri.
“Ada penyokong sebelah sana yang tidak percaya dan suruh saya beri bukti. Okay, maka saya ulangkan bukti bagi kali terakhir Mahathir tekan saya sebelum dia tarik sokongan dan mula berkomplot dan menyerang saya.
“Bagi menunjukkan dia marah, pada hari pertama Perhimpun Agung Umno (PAU) 2013, Dr Mahathir dengan mengejut mengumumkan meletak jawatan sebagai penasihat Petronas dengan alasan dia sudah terlalu tua.
Mengulas lanjut Dr Mahathir mendakwa dia hanya memberi sokongan pada individu yang boleh memberi kemajuan kepada negara.
Bahkan katanya, anaknya sendiri pun dia tidak berikan sebarang projek ketika menjadi perdana menteri.
Dia turut meminta Najib mengemukakan bukti jika benar anaknya menjadi jutawan disebabkannya.
“Malangnya yang saya tolong tu banyak, yang gagal tak jadi kroni yang menang saja jadi kroni. Eh, bukan main banyak dapat bantuan kenapa tak dipanggil kroni,” kata Tun.
Bagaimanapun pada 11 Ogos 2020, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas cucu kepada Tun Dr Mahathir yang mempersoalkan harta milik Kesultanan Johor.
Cucu bekas Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan salah seorang anak Mukhriz telah membuat satu hantaran di laman sosial Twitter menyoal tentang dari mana TMJ memperolehi wang yang sering disumbangkan kepada rakyat negeri Johor oleh keluarga Diraja Johor itu.
Walau bagaimanapun, ciapan Melia Serena Mukhriz telah ‘menjerat diri sendiri’ kerana persoalannya itu dibidas TMJ dengan menyatakan kekayaan Sultan Johor bermula seawal tahun 1885 lagi, malah turut ‘dinasihati’ netizen.
“Alhamdulillah, berkat berniaga sejak 1885, kami dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah. Malah hadiahkan kerajaan British sebuah pesawat sebelum datuk kamu lahir lagi.
Daripada ‘perang lama’ antara orang Istana Johor dengan mantan PM itu, penulis nampak sukar jalan untuk Pejuang mendapat tempat di hati rakyat pada PRN Johor nanti.