spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Tiada tangan ghaib paksa bubar – Hasni

- Advertisement -spot_img

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak memaksa beliau untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Jelasnya, tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa terdapat ‘tangan ghaib’ yang menggesa beliau mengadakan PRN adalah tidak benar.

“Tidak ada sesiapa termasuk daripada parti politik yang saya sertai menggesa saya untuk membubarkan Dewan Negeri. Dakwaan yang mengatakan terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik keputusan ini adalah tidak benar.

“Dakwaan mengatakan kluster mahkamah ataupun ahli politik yang kini berdepan dengan tindakan mahkamah menggesa keputusan ini juga adalah tidak benar. Mereka tidak terlibat langsung dalam keputusan ini.

“Saya sebagai Menteri Besar dan rakan-rakan pentadbiran Negeri Johor mengambil keputusan untuk membubarkan Dewan Negeri dibuat atas satu kesedaran bahawa Johor memerlukan satu kepimpinan yang mempunyai komposisi kepelbagaian kaum yang seimbang,” katanya pada Majlis Mesra Muhibah Sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Tiong Hua, di sini semalam.

Menteri Besar berkata, rakyat tentunya menginginkan keputusan PRN yang dapat membawa negeri Johor ke hadapan dan bukan sebaliknya.

“Saya yakin dan percaya semua rakyat di negeri ini berharap keputusan PRN yang mampu membawa Johor ke hadapan dan bukannya menyebabkan negeri ini hilang potensi untuk menjadi sebuah negeri yang maju.

“Percayalah, hasrat dan harapan saya juga sama. Justeru, saya menyeru kepada semua pemimpin untuk menyahut usaha-usaha ini. Ini penting, kerana sekiranya kita tersilap, ia bakal memberi satu kesan jangka panjang yang tidak akan menguntungkan sesiapa,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases