Tiada calon lain yang mencabar kedudukan nombor satu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), menjadikan Datuk Mohd Sumali Reduan bakal mendapat jawatan Presiden (PSM).
Ia berikutan pencabarnya, Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah menarik diri daripada bertanding bagi jawatan presiden dan juga timbalan presiden PSM, walaupun tarikh tutup jawapan balas bagi pencalonan hanya ditutup tengahari esok.
Sehubungan itu, Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) ingin mengekalkan kerusi panasnya.
Menurut kenyataan Zuraidin di sini hari ini, beliau membuat keputusan untuk mengundur diri daripada bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Sabtu ini.
“Saya juga memutuskan untuk tidak bertanding bagi mengisi jawatan-jawatan lain pada mesyuarat berkenaan.
“Keputusan ini adalah bagi memberi laluan kepada Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) Datuk Mohd Sumali Reduan untuk menerajui PSM.
“Saya percaya dengan kewibawaan dan pengalaman beliau, persatuan induk sepak takraw negara akan dapat ditadbir dengan baik.
“Saya bersama Gastak telah memutuskan untuk menyokong PSM bagi menangani segala isu sehingga PSM dapat diterima semula oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).
“Dengan keputusan ini juga saya akan memberi tumpuan lebih kepada Gastak serta pembangunan sepak takraw di Kelantan,” katanya.
Dalam senarai nama pencalonan pemilihan bagi penggal 2022-2025 yang akan diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSM Sabtu ini, Sumali menerima tujuh pencalonan bagi jawatan presiden manakala Zuraidin dapat dua.
Untuk jawatan timbalan presiden pula, Sumali yang juga Naib Presiden PSM menerima dua pencalonan manakala Zuraidin, satu pencalonan.
Dua lagi calon timbalan iaitu Presiden Persatuan Sepak Takraw negeri Johor (PSNJ), Datuk Abdul Halim Suleiman menerima lapan pencalonan manakala Datuk Abdul Puhat Mat Nayan (Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan), tujuh pencalonan.
“Sebenarnya kita (GASTAK) sudah ada beberapa perancangan yang ingin dibuat. Saya pun sudah ada pasukan sendiri. Saya sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk menjadi rakan strategik bagi membantu daripada sudut kewangan dan kepakaran.
“Ini kerana, kita tak boleh buang masa lagi sekiranya diberikan tanggungjawab (dalam PSM), kita terus nak buat dan itu adalah perancangannya.
“Namun kalau begitulah pilihan terbaik (menolak pencalonan), kita bagaimanapun akan tetap memberi sokongan daripada belakang tabir. Kita tak akan lari (daripada PSM) dan terus menyokong. GASTAK akan tetap berada dalam PSM,” kata Zuraidin.