Oleh Fhatihah Zakinan
PETALING JAYA : Suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tawfiq Ayman mendakwa dia tidak mengenali bekas kakitangan Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng.
Terkejut dengan laporan media apabila namanya disebut oleh Leissner, suami Zeti Akhtar Aziz itu menegaskan bukan sahaja tidak mengenali kedua-dua individu itu malah mendakwa tidak pernah menerima rasuah sepanjang hidupnya.
“Saya tidak mengenali Tim Leissner atau Roger Ng dan saya tidak pernah bertemu (dengan mereka), mahupun pernah berkomunikasi dengan salah seorang daripada mereka.
“Saya ingin menyatakan bahawa sepanjang hidup, saya tidak pernah menerima rasuah daripada sesiapa,” katanya dalam satu kenyataannya, di sini.
Tawfiq bagaimanapun berkata beliau dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan kerana boleh menyebabkan subjudis.
“Kami akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan yang dibuat terhadap saya,” katanya.
Berdasarkan laporan FMT pada Rabu, Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa BNM membenarkan pindahan keluar negara wang sebanyak USD1 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada PetroSaudi International (PSI), selepas Tawfiq disogok agar ia terlaksana.
Pindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman dan memaklumkan Zeti yang merupakan gabenor BNM ketika itu.
Leissner, saksi penting dalam perbicaraan kes seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.
Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan buruan, Taek Jho Low.
Dokumen mahkamah yang dilihat FMT menyebut Leissner pada Selasa memberitahu juri mahkamah persekutuan bahawa Ng memberitahunya apa yang didengarnya tentang kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka mengetahui 1MDB membuat pindahan itu.
The Edge, pada Feb 2021, melaporkan, polis Singapura pernah membuat makluman kepada BNM, berhubung transaksi mencurigakan daripada Low kepada suami dan anak lelaki Zeti ketika masih menjadi gabenor bank berkenaan.
Dokumen dan komunikasi daripada Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) pada 2015 dan 2016 ada berkongsi maklumat transaksi melibatkan Iron Rhapsody Ltd kepada BNM.
Zeti hanya bersara daripada BNM pada April 2016.
Singapura kemudian telah memulangkan ke Malaysia sejumlah AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB yang melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq Ayman.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya AS$15.4 juta (RM65 juta) dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami Zeti, Tawfiq.
SPRM memaklumkan sehingga kini ia berjaya mendapatkan semula aset dan dana berkaitan 1MDB, membabitkan nilai RM20.5 bilion.
Ini termasuk pemulangan semula aset bernilai USD15.4 juta (RM64.4 juta) melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, dikatakan milik Tawfiq dan Samuel Goh.
Polis Singapura, menyebut nama Tawfiq berkaitan dana 1MDB.
Pihak SPRM juga menyebut nama Tawfiq berkaitan dana sama.
Leissner juga menyebut namanya berkaitan dana sama kepada mahkamah di Amerika Syarikat.
Adakah Leissner tipu kenyataan, dan menipu mahkamah?
Dan semestinya, pihak berkuasa boleh menyemak ‘money trail’ yang berlaku pada ketika itu membabitkan suami Zeti jika benar dakwaan Leisnner.
Jika sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa supaya mengusahakan mengambil atau menjalani ujian poligraf (polygraph) atau lebih dikenali sebagai ujian bohong ‘Lie Detector’.
Tawfiq juga dicabar untuk melakukan perkara sama.
Mungkin sudah tiba masanya, kerajaan dan mahkamah menerima alat uji bohong poligraf, satu-satunya penyelesaian mudah, segera untuk menentukan seseorang jujur atau sebaliknya
Sebagai seorang Islam, adalah wajib untuk menerima penggunaan poligraf kerana itu disarankan dalam Quran.
Paling sesuai dan terbaik dimulakan dalam bidang kehakiman, mahkamah, penguatkuasaan dan sebagainya.