KUALA LUMPUR : Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyampaikan sumbangan peralatan terapi berjumlah RM40,000 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Putrajaya, PPDK Sinar@9 Putrajaya, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Permata Hati.
Shahidan menyantuni anak-anak di pusat latihan ini bagi memastikan nasib golongan kelainan upaya (OKU) di negara ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan.
Justeru, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengambil inisiatif membantu anak-anak istemewa ini melalui pelaksanaan Program Semarak Kasih dalam memastikan kebajikan golongan ini.
Semarak Kasih bersama pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Wilayah Persekutuan Putrajaya ini merupakan salah satu program Hari Wilayah Persekutuan 2022 bagi menggalakkan nilai kebersamaan dan kesyukuran dalam kalangan rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
Program ini dapat memperkukuh dan memperkayakan lagi interaksi antara pihak kementerian dan agensi dengan golongan ini disamping menerapkan nilai rasa kasih sayang dan memastikan kelangsungan kehidupan golongan ini dijaga dan dibantu sebaiknya.
Peralatan terapi ini dapat meningkatkan potensi latihan anak-anak OKU dalam memastikan aspek latihan, pendidikan, pemulihan serta integrasi sosial berbanding manusia normal lain.
PPj juga turut menyumbangkan ‘voucher card’ membeli belah bernilai RM100 kepada setiap pelajar.
Manakala, YWP pula menyerahkan sumbangan bakul makanan seperti beras, tepung gandum, gula, mihun dan lain-lain kepada setiap pelajar dan petugas di keempat-empat PDK ini.
Kementerian menyeru syarikat-syarikat swasta, Badan-badan NGO serta individu persendirian untuk bersama-sama menyumbang kepada pusat-pusat pemulihan OKU di negara ini sebagai tanggungjawab sosial mereka.
Semoga program Semarak Kasih ini dalam melahirkan semangat “We Feeling” dan kebersamaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan sebagai sebuah “Keluarga Malaysia”