spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Saya tak tau siapa saya tanpa dia – Janna Nick

- Advertisement -spot_img

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Janna Nick mendedikasikan single ketiganya yang berjudul Gatal buat penyokong utamanya, Dini Schatzmann yang juga teman lelakinya.

Setelah lebih 4 tahun menyepi dari dunia nyanyian, akhirnya Janna tampil dengan buah tangan terbaru dan menghargai sokongan tanpa henti daripada kekasihnya itu.

“Ini adalah penyokong paling kuat dalam hidup saya kerana dia ada di mana-mana saja atas permintaan saya. Dia sentiasa mengutamakan saya dalam segala aspek kerana dia tahu saya perlukan dia.

“Dia sentiasa ada untuk saya di saat saya memerlukan. Doa yang baik-baik buat kami kerana saya tidak tahu apa yang saya akan lakukan tanpanya. Terima kasih,” kata Janna.

Berkongsi mengenai single Gatal yang baru saja dilancarkan, Janna atau nama penuhnya Nurul Jannah Muner, mengakui agak sukar kembali merancakkan momentum kerjaya seni suaranya itu memandangkan sudah lama tidak menyanyi.


Janna akui, pengalaman lalu dan kritikan diterimanya, tidak pernah mematahkan semangat apatah lagi ketika mengenangkan sokongan padu para peminat yang sentiasa memberi kekuatan.

“Proses pembuatan lagu ‘GATAL’ ini adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejurus tamat PKP, saya terus buat latihan vokal dan kemudian masuk studio untuk proses rakaman. 

“Kalau tanya berapa masa yang diambil untuk menyiapkan lagu ini, saya tak dapat berikan tempoh yang spesifik, cuma lebih kurang setahun juga.


“Saya jalani hampir setahun rasanya untuk menyiapkan ‘single’ kali ini. Apa yang ingin saya sampaikan ialah mesej melalui lagu ‘Gatal’ yang jarang diberikan perhatian,” katanya.

Justeru, tidak mahu terus mengalah, Janna menjalani sesi latihan vokal untuk memantapkan persembahannya supaya tampil dengan pakej lengkap, bukan sekadar cantik dan memiliki personaliti menarik, bahkan mempunyai kekuatan dan kualiti suara tersendiri.

“Lagu berentak pop ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza ini diserikan dengan bait-bait lirik yang seakan menolak godaan seorang lelaki yang sudah berpunya,” katanya.


“Mesej lagu ini bagi Janna sangat mudah di mana selalunya perbuatan gatal ini akan diletakkan kesalahan kepada satu pihak sahaja yang kebiasaannya adalah wanita, tetapi dalam lagu ini, ia cuba menyampaikan bahawa perbuatan gatal itu terjadi disebabkan oleh kedua-dua pihak, tidak kira lelaki atau perempuan.

“Gatal ini juga boleh mengakibatkan kesengsaraan dan kerosakan sesebuah perhubungan pada pengakhirannya. Lagi-lagi untuk orang yang dah berpunya dan juga pasangan suami isteri,” jelasnya.

“Ini adalah buah tangan untuk anda semua. Terima kasih banyak atas segala sokongan yang diberikan dari awal pembabitan Janna dalam industri seni. Saya sayang kamu (peminat) semua,” pesan Janna.


Lagu ‘GATAL’ terbitan Warner Music Malaysia boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 28 Januari yang lalu manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Janna Nick bermula malam tadi.

Janna pernah menghasilkan single berjudul Akan Bercinta yang menjadi lagu latar drama adaptasi Coffee Prince yang hangat sekitar tahun 2017.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases