KUALA LUMPUR: Pusingan kedua untuk minggu keenam Kejohanan Emas Anuar STL 2021/2022, melihat pertembungan antara KL Thunder dan Negeri Sembilan Antlers di Stadium Titiwangsa malam tadi.
Hasil daripada pertembungan tersebut, Negeri Sembilan Antlers telah berjaya meraih kemenangan dengan keputusan 2-1 ke atas juara berganda STL 2020 KL Thunder.
Malam ini KL Thunder yang menurunkan barisan terkuat mereka Ahmad Izzat, Azlan Alias dan Amirul Zazwan.
Walaupun tuah tidak berpihak kepada KL Thunder malam ini, namun kita dapat saksikan satu pertembungan sengit apabila kedua pasukan ini memberikan saingan hebat dan asakan di setiap set perlawanan demi mengejar mata.
Set pertama menyaksikan pasukan Negeri Sembilan Antlers berjaya menebus kekalahan mereka dengan mata 17-21, ini kerana pada pusingan pertama mereka tewas menentang KL Thunder.
Set kedua pula, KL Thunder berjaya bangkit apabila jauh meninggalkan Negeri Sembilan Antlers dengan mata kedudukan 21-11.
Namun apakan daya, rezeki tidak berpihak kepada KL Thunder kerana tewas pada Negeri Sembilan Antlers di set penentuan dengan mata 11-21. Sekali gus Negeri Sembilan Antlers berjaya memenangi perlawanan malam ini.
Menurut jurulatih KL Thunder, Rashidi Nordin, dia akui anak buahnya ada melakukan kesilapan kecil yang mengakibatkan pasukannya kurang bernasib baik malam ini dan menyebabkan jurang mata yang sedikit jauh ketika menentang Negeri Sembilan Antlers.
“Untuk perlawanan menentang Negeri Sembilan Antlers, KL Thunder telah mencuba sebaik mungkin, namun di set ketiga ada sedikit kelonggaran daripada segi rejaman, kesilapan hantaran, dan bila melakukan kesilapan mudah itu menyebabkan jurang mata begitu jauh
“Jadi ia menyebabkan sedikit tekanan buat para pemain untuk mengejar mata yang ditinggalkan pasukan lawan,
Tambahnya lagi, Negeri Sembilan Antlers menggunakan peluang sebaik mungkin di pusingan kedua ini untuk bangkit menebus kesilapan mereka ketika kalah di pusingan pertama lalu.
“Masing-masing sudah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan masing-masing, ruang yang ada ini selepas pusingan pertama seharusnya digunakan untuk diperbaiki, jadi Negeri Sembilan Antlers menggunakannya ruang sebaik mungkin untuk membuat persiapan,
“Dengan sedikit kesilapan yang dilakukan oleh KL Thunder membuatkan mereka menang malam ini,” ujar jurulatih KL Thunder, Rashidi Nordin.
Kapten KL Thunder, Amirul Zazwan berkata, pasukannya kurang bernasib baik malam ini kerana melakukan kesilapan kecil dan memberikan ruang kepada pasukan lawan untuk membolos mata dengan mudah.
“Bagi saya perlawanan tadi, Negeri Sembilan Antlers memang layak untuk menang sebab permainan kami tadi ada beberapa kesilapan kecil yang dilakukan, terutamanya daripada segi serangan, pertahanan,
“Namun apa yang boleh saya katakan, kami sudah usaha sebaik mungkin, namun rezeki tidak berpihak kepada kami, memang tuhan sudah tentukan, menang atau kalah, yang penting usaha,” kata kapten KL Thunder, Amirul Zazwan.