Oleh AMIR HAMZAH NORDIN
LIPIS, 5 Februari 2022 – Lapan orang lelaki Cina bersama dua orang wanita berusia antara 37 hingga 53 tahun ditahan kerana bermain judi menggunakan buah ‘Pai Kaw’ sempena Ops Dadu Khas Tahun Baharu Cina di Kampung Baru Jerkoh, Benta dekat sini semalam.
Kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dalam serbuan pada jam 12.50 pagi hari ini, ketika semua suspek disyaki sedang leka bermain judi buah Pai Kaw mengelilingi sebuah meja kayu empat segi di sebuah rumah di kampung tersebut.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor berkata, pegawai polis yang bertugas ketika serbuan itu telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada kesemua suspek dan kemudiannya meminta suspek mengeluarkan kad pengenalan diri untuk diperiksa.
“Kesemua suspek tidak menyedari kehadiran polis di belakang rumah berkenaan yang tidak berpagar kerana mereka leka bermain judi buah Pai Kaw di samping menyangka pihak berkuasa tidak akan bertindak sempena perayaan ini.
“Polis telah membuat pemeriksaan serta merampas 32 buah Pai Kaw, buah dadu (3), satu chip merah jambu serta wang tunai terletak di atas meja kayu empat segi yang dikelilingi sepuluh orang suspek tersebut serta kemudiannya ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Azli, suspek juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), penjarakan fizikal dan telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Kesalahan Dibawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (PPDPPB) 1988 (Akta 342 ) dan dibawa balik ke IPD Lipis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, antara barang permainan judi yang dirampas iaitu 32 buah Pai Kaw, buah dadu (3 biji), sekeping chip merah dan wang tunai yang dipercayai pertaruhan aktiviti tersebut berjumlah RM3,850.
“Antara peralatan yang turut dirampas itu, sebuah buah meja kayu, sepuluh buah kerusi diperbuat daripada plastik dan besi bulat dan sebuah bekas kotak buah Pai Kaw warna merah jambu yang bertulis POH SAN TRADING,” katanya.
Azli selanjutnya berkata, sempena Ops Dadu Khas atau Ops Tahun Baharu Cina dan juga termasuk bukan musim perayaan, polis akan terus membuat penugasan membanteras kegiatan judi di daerah ini dan tindakan tegas berasaskan undang-undang yang diperuntukkan ke atas suspek.
“Polis juga meminta orang ramai memberikan kerjasama menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian di tempat masing-masing supaya kita dapat membuat pemantauan serta bertindak menahan pelaku berasaskan undang-undang.
“Kesemua suspek akan disiasat di bawah eksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.