BAYAN BARU: Pusingan kedua untuk minggu ketujuh Kejohanan Emas Anuar STL 2021/2022 kini telah bertukar lokasi di utara semenanjung Malaysia.
Pasukan KL Thunder dan Selangor Piston dijadualkan berentap di stadium SPICE ARENA, Pulau Pinang, jam 8 malam hari ini.
Hasil daripada pertembungan ini, Selangor Piston telah berjaya memenangi perlawanan berkenaan dengan mata 2-1, serta sekali gus berjaya menebus kembali kekalahannya di pusingan pertama ketika berentap juara bertahan ini.
Set pertama KL Thunder telah berjaya menewaskan Selangor Piston dengan mata 21- 17.
Set kedua, Selangor Piston kembali mengejar kedudukan dan berjaya menewaskan KL Thunder dengan mata kedudukan 11-21.
Anak buah Rashidi Nordin telah mempamerkan aksi mendebarkan disaat akhir set ketiga apabila memberikan tekanan kepada Selangor Piston dengan melakukan beberapa hantaran yang berbisa daripada tekong KL Thunder, Syahir Rosdi.
Namun rezeki tidak berpihak kepada KL Thunder apabila tewas kepada Selangor Piston dengan mata rapat 19-21 di set ketiga, dan sekali gus berjaya menjuarai perlawanan sebentar tadi di stadium SPICE ARENA, Pulau Pinang.
Ketiadaan kedua-dua jurulatih KL Thunder, Rashidi Nordin dan Ali Hanafiah pada perlawanan sebentar tadi dilihat memberi sedikit impak kepada pemain.
Dalam pada itu, KL Thunder telah melakukan percaturan sedikit berbeza apabila pertama kalinya menurunkan pemain apit kanan muda KL Thunder, Redwan Hakim pada perlawanan sebentar tadi.
Menurut pemain apit kanan KL Thunder, Redwan Hakim, menzahirkan rasa bersyukur kerana diberikan kepercayaan oleh jurulatih untuk beraksi di minggu ketujuh ketika menentang Selangor Piston.
“Alhamdulilah sebab diberikan kepercayaan pertama kalinya untuk bermain di pusingan ketujuh ini oleh jurulatih, namun rezeki tidak berpihak kepada kami kerana tewas, saya akan cuba buat sebaik mungkin untuk perlawanan seterusnya sekiranya diberikan peluang
“Saya masih tidak berpuas hati dengan permainan yang saya berikan pada sebentar tadi, sebab banyak lagi perlu diperbaiki untuk membantu pasukan, saya minta maaf atas kekurangan rentak pemainan sebentar tadi, luahnya.
Selain itu, pengurus KL Thunder, Zambri Abdul Rahman akui ketiadaan kedua-dua jurulatihnya telah meninggalkan sedikit kesan buat pemainnya kerana tiada tempat untuk dibimbing ketika perlawanan.
“Apa yang kita boleh lihat perlawanan sebentar tadi, kami telah membuat satu percaturan antara permain senior dan junior, pada mulanya nampak menjadi tetapi apabila kemasukan tekong kedua Selangor Piston yang merupakan senarai pemain Malaysia untuk SEA Games,
“Pemain KL Thunder nampak sedikit goyah, mungkin juga mengalami satu tekanan tambahan pula suasana di perkarangan stadium yang agak sejuk juga memainkan peranan penting
“Ketiadaan kedua- dua barisan jurulatih juga menyebabkan momentum para pemain sedikit terganggu kerana mereka tiada tempat untuk dibimbing dan selaku pengurus saya hanya mampu mengarahkan sahaja, tetapi tidak boleh mengaturkan perlawanan kerana semuanya dilakukan oleh jurulatih,” jelas pengurus KL Thunder, Zambri Abdul Rahman