Nama Iqbal Zulkefli menjadi trending di Twitter apabila banyak pihak yang. bukan sahaja terkejut, malah mempertikaikan penyertaan usahawan itu sebagai salah seorang peserta program Big Stage 2022 (BS22)yang mula bersiaran pada malam Ahad.
Banyak pihak menyifatkan pemilihan Iqbal hanya sebagai salah satu strategi pemasaran untuk menaikkan rating program berkenaan.
Teka-teki peminat siapakah yang bakal melengkapkan 12 barisan peserta BS22 kali ini terjawab apabila Iqbal atau nama sebenarnya Ahmad Iqbal Zulkefli, 28, tampil menyanyikan lagu Biarlah Bulan Bicara yang dipopularkan oleh Broery Marantika.
Iqbal mendapat markah paling rendah iaitu 28.8 peratus namun tiada penyingkiran pada malam tersebut.
Menguatkan lagi strategi pemasaran bagi menaikkan rating apabila pihak Astro turut menampilkan usahawan wanita sensasi, Datuk Seri Vida sebagai ‘presiden netizen’ dalam program ini.
Untuk rekod, drama percintaan dan rancangan perkahwinan tak jadi antara Vida dan Iqbal menjadi bualan netizen sejak Ogos tahun lalu.
Justeru ada yang menganggap pihak produksi sengaja mencipta kandungan dan bukan untuk tujuan pertandingan sebenar.
Untuk rekod, Iqbal melancarkan single pertama berjudul Hujan pada November tahun lalu dan kini video muziknya sudah menerima lebih 2.2 juta tontonan di YouTube.
BS22 turut disertai Tegar Septian, Elica Paujin, Lia Aziz, Sofiaa Marieylla, Ajoi Zainal, Tuah Adzmi, Syafiq Abdillah, Megat Rahim, Daniel Chuer, Aishah Retno dan Yazmin Aziz.