spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Isu agama anak Loh Siew Hong : Mufti Perlis buat silap

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Perlis melalui muftinya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 2015, pernah mengumumkan fatwa bahawa hak penjagaan anak bawah umur tidak wajar ditentukan berdasarkan agama ibu bapa.

Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) dan mufti Perlis baru-baru ini didakwa ‘terkhilaf’ dalam menguruskan isu pendaftaran tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong sebagai orang Islam.

Bagi kes berkenaan, Mohd Asri turut didakwa tersilap mengeluarkan kenyataan bahawa jika anak itu sudah mampu membezakan yang baik dan buruk, mereka boleh memilih untuk pergi kepada ibu mereka yang bukan Islam atau bapa mereka yang Islam, sedangkan hak penjagaan anak telah diberikan kepada ibu.

Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) berkata, bagi kes Loh, tiga anaknya di bawah umur memeluk Islam secara sepihak dilakukan tanpa kebenarannya.

Berdasarkan kenyataan Dr Asri menerusi rakaman video oleh mufti itu, tiga anak wanita itu didaftarkan sebagai orang Islam apabila mereka dibawa oleh bapa mereka dan pihak berkuasa tidak menyelidik mengenai ibu mereka.

“Fakta yang diakui ini jelas menunjukkan kecuaian Jaips kerana membenarkan anak-anak menukar agama tanpa kebenaran ibu.

“Malangnya, mufti sekali lagi menggunakan prinsip yang silap apabila dia berkata ‘tetapi jika anak itu sudah ‘mumayyiz’ mampu membezakan yang baik dan buruk, mereka boleh memilih untuk pergi kepada ibu mereka yang bukan Islam atau bapa mereka yang Islam’, kata MCCBCHST menerusi kenyataan, pada Khamis.

Majlis berkenaan mendakwa, kenyataan Mohd Asri adalah pendirian yang tidak betul kerana hak penjagaan tunggal ke atas anak-anak telah diberikan kepada ibu.

Malah, mereka mendakwa, bapa berkenaan tidak dapat menjaga anak-anak itu dan berada di penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

Mumayyiz ialah perkataan Arab yang merujuk kepada peringkat usia kanak-kanak atau remaja dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

MCCBCHST juga mendedahkan satu lagi kenyataan Mohd Asri, ketika beliau bertanya kepada kanak-kanak itu sekiranya mereka mahu menjadi Muslim dan memberitahu mereka bahawa dia akan berusaha untuk memastikan mereka kekal dalam agama itu.

Majlis itu berkata mufti Perlis perlu memahami undang-undang, bahawa ibu atau bapa secara sepihak tidak dibenarkan menukar agama anak tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa.

“Kedua-dua ibu bapa mesti bersetuju. Ini berdasarkan penghakiman mahkamah tertinggi di negara ini.

“Janjinya kepada gadis kembar itu bahawa dia akan berusaha untuk memastikan mereka kekal Islam’, adalah tidak boleh dipertahankan dan bertentangan dengan kedudukan undang-undang,” katanya.

Menurut Asri dalam video itu, seseorang dalam usia ‘mumayyiz’ sah memeluk Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah.

“Satu orang mengucap dua kalimah syahadah, di sisi kita dia (sah) Islam , kita daftar kerana bapa dia kata bapa dia yang bagi, dan bapa dia yang kata mak dia tak tau pergi mana masa tu.

“Isunya, di sisi kita, seseorang yang dah mumayyiz, dia ucap dua kalimah syahadah, Islam di sisi kita. Soal pendaftaran, tak boleh daftar tu cerita kemudian.

“(Umur) 18 tahun kemudian bolehlah dia buat keputusan rasmi tapi tak ada sesiapa paksa,” katanya.

Mengulas lanjut, MCCBCHST turut meminta Jaips menyerahkan hak penjagaan kanak-kanak itu kepada Loh Siew Hong, mengikut perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indra Gandhi, penukaran agama ketiga-tiga anak itu akan terbatal dan tidak sah kerana kebenaran ibunya belum diperolehi.

“Oleh itu, Jaips harus membatalkan penukaran agama anak-anak itu secara sepihak tanpa memerlukan ibu tunggal itu mendapatkan perintah mahkamah, untuk membatalkan penukaran agama yang salah bagi tiga anaknya,” kata majlis itu.

Sementara itu, Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menggesa kerajaan membentangkan rang undang-undang pada sidang parlimen akan datang yang mewajibkan pihak berkuasa mendapatkan persetujuan daripada kedua ibu bapa sebelum mana-mana kanak-kanak di bawah umur boleh menukar agamanya.

KLSCAH berkata, pertimbangan utama adalah menyediakan kanak-kanak dengan persekitaran tumbesaran dan perkembangan psikologi yang lengkap. Jika dibandingkan dengan keadaan kes hari ini yang dikatakan bahawa anak-anak Loh Siew Hong hendak mengekalkan identiti Islam mereka tanpa melalui ibu mereka, sudah pasti timbul keraguan.

“KLSCAH percaya bahawa selepas mengesahkan Loh Siew Hong mempunyai keupayaan untuk membesarkan anak-anaknya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis harus segera mengembalikan anak kepada Loh Siew Hong demi memastikan perkembangan fizikal dan mental anak Loh yang sihat dan selamat.

“Tambahan pula, Mohd Asri pernah mengumumkan melalui fatwa pada tahun 2015, bahawa hak penjagaan anak bawah umur tidak wajar ditentukan berdasarkan agama ibu bapa,” kata KLSCAH.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases