Oleh Nurman Nasyriq
PONTIAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berdepan pertandingan empat penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan penyandang kerusi berkenaan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab. Hamid, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim dan calon PKR, Haniff@Ghazali Hosman.
Isa ialah wakil daripada kalangan masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.
Pengumuman pencalonan keempat-empat calon berkenaan dibuatkan Pegawai Pengurus (RO) Pilihan Raya DUN Benut, Mohd. Rafi Abdullah.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Hasni memenangi kerusi DUN Benut dengan 9,480 undi, berbanding calon Zulkifly Tasrep (PKR) meraih 5,033 undi, manakala Mohd. Firdaus Jaafar (PAS) mendapat 2,590 undi.
Hasni menang dengan majoriti 4,447 undi.