KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mengingatkan ulama PAS tidak berdusta dengan terus menuduh AMANAH sebagai parti ciptaan DAP.
Beliau menegaskan tidak ada penglibatan DAP dalam pembentukan AMANAH.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti MUDA, tetapi saya tahu dan arif sangat tentang sejarah penubuhan parti Amanah kerana sejak dari awal saya terlibat secara aktif dalam penubuhan parti Amanah.
“Dan saya berani kata tidak ada sebarang penglibatan DAP. Dakwaan YB itu terlalu mengarut.
“Bukan saya sahaja boleh sahkan hal tersebut. YB Mohd Sabu, YB Salahuddin Ayub, YB Mahfuz Omar, YB Dr Hatta,YB Khalid Samad, YB Dr Zulkifli Ahmad,YB Dr Mujahid,YB Dr Maria, YB Annuar Tahir dan beberapa orang lagi juga boleh mengesahkan hal tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini mendakwa Muda pimpinan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman merupakan ciptaan DAP yang bertujuan untuk mengumpan belia Melayu.
Ahli parlimen Marang itu menyamakan MUDA seperti AMANAH, parti serpihan PAS yang didakwa Hadi turut ditubuhkan oleh DAP.
Memetik laporan media, Abdul Hadi dilaporkan berkata, “AMANAH itu DAP yang buat, saya tahu dia ambil orang PAS buat Amanah. Sekarang Muda ini pun DAP juga. tak apa lah.
“Untuk umpan pancing anak muda orang Melayu. Ingat jangan makan umpan,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong pada majlis pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) di Kota Tinggi, Johor.
Dalam pada itu, Hanipa berkata, penjelasan ini mungkin tidak diterima Abdul Hadi dan beliau turut mengingatkan AMANAH ditubuhkan berpunca daripada kelemahan ulama PAS itu.
“Adakah YB sudah lupa kalimah “baruah” yang YB luahkan dengan nada marah semasa YB menggulung muktamar tahunan parti ehem di Batu Pahat, Johor ?
“Atau YB sudah juga lupa fenomena cai semasa proses pemilihan di muktamar parti ehem di Kuala Selangor ?
“Atau YB juga sudah lupa tindakan YB sendiri yang tidak hormat keputusan mesyuarat parti ehem pusat mengenai keputusan parti berhubung pencalonan calon MB Selangor.
“YB yang tidak hormat keputusan parti, YB Presiden Amanah yang dituduh ayam daging kerana secara amanah bawa keputusan parti dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat ( PR )!!!
“Dan adakah YB juga sudah lupa sikap berdiam diri yang YB tunjukkan apabila kami semua dilabel secara rakus dengan label seperti munafiq haraki, jebon, baruah, muslim liberal, tak walak, Anwarinas, Erdogan, anjing Dap, tolak ulamak, peguam neraka dan lain-lain. Tapi tidak mengapa, cukuplah Allah bagi kami saksi pendustaan YB,” katanya.