Oleh Fhatihah Zakinan
PUTRAJAYA : Filipina dan Brunei setakat ini mengiktiraf penggunaan MySejahtera bagi tujuan memudahkan integrasi sistem antara negara itu dengan Malaysia.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pengembara Malaysia kini dibenarkan memasuki Filipina dengan bukti sijil vaksinasi lengkap dalam MySejahtera.
Keputusan itu dicapai melalui kata sepakat antara kerajaan Malaysia dan Filipina yang saling mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing, MySejahtera dan VaxcertPH, pada Isnin lalu.
“Kemasukan pengembara juga tertakluk kepada prosedur kuarantin semasa yang ditetapkan pihak berkuasa kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Persetujuan terbabit sekali gus membolehkan Kedutaan Malaysia di Manila membantu tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Ahad lalu untuk memasuki Filipina atas tujuan rasmi dan perniagaan.
Isnin lalu, media melaporkan tujuh rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang berkenaan selepas dimaklumkan pihak berkuasa Filipina tidak menerima bukti sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera.
Bagaimanapun, kesemua mereka kemudian dibenarkan memasuki republik itu hasil tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila.
Menurut Wisma Putra pada dasarnya, kerajaan Malaysia mengiktiraf pengembara yang lengkap menerima vaksin yang diluluskan di bawah Senarai Kegunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau diluluskan pihak berkuasa negara-negara tertentu.
Bagaimanapun, pengiktirafan sijil digital vaksinasi MySejahtera adalah tertakluk kepada keputusan kerajaan-kerajaan negara lain.
“Malaysia dan Filipina juga sepakat untuk meneruskan kerjasama ke arah verifikasi ketulenan sijil vaksinasi COVID-19 kedua-dua negara secara dalam talian dengan sistem yang lebih selamat dan terjamin bagi memudahkan laluan kemasukan pengembara lengkap divaksinasi,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turut mengumumkan Brunei mengiktiraf MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem antara negara itu dan Malaysia.
Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Brunei, semalam.