KUALA LUMPUR : Apabila membaca artikel ini, bolehlah disimpulkan bahawa 30 juta rakyat negara ini tertipu dengan jalan cerita sebelum ini mengenai penyelewengan dana 1MDB.
Selama ini kita menggangap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak satu-satunya perompak penyamun pencuri bak tohmahan Tun M, dalam skandal membabitkan dana RM2.6 bilion.
Bagaimanapun hari ini, baharulah kita disedarkan bahawa suami mantan Gabenor Bank Negara, Zeti Akhbar didakwa menerima ‘rasuah’ agar pemindahan keluar negara dana 1MDB itu dilaksanakan, kata bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner.
Anehnya bagaimana Zeti boleh berdiam diri ketika segala tohmahan dihalakan kepada Najib seorang pada tahun tercetusnya isu 1MDB pada 2017 itu. Menjadi persoalan ramai, adakah pihak berkuasa akan mengambil tindakan susulan pendedahan Leissner terbabit?
Kata Leissner lagi di hadapan mahkamah Daerah Timur New York, Amerika Syarikat, Bank Negara membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak USD1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.
Pemindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya. Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu dan suaminya adalah Tawfiq Ayman.
Leissner dalam keterangannya menyebut ‘rasuah yang membabitkan bekas suami gabenor Bank Negara’.
Bagaimanapun, dia tidak boleh mengesahkan secara bebas sama ada suapan telah dibayar atau tidak.
Menurut transkrip mahkamah perbicaraan Roger Ng, Leissner menyebut perkara ini apabila ditanya oleh pendakwa raya mengenai urusannya dengan projek usaha sama PetroSaudi-1MDB.
Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.
Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.
Dokumen mahkamah dilaporkan portal berita menyebut Leissner pada Selasa memberitahu juri mahkamah persekutuan bahawa Ng memberitahunya apa yang dia dengar tentang kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka dapat tahu 1MDB membuat pemindahan itu.
“Malaysia pada 2009 masih mempunyai kawalan modal dan pelaburan sebesar itu harus mendapat kelulusan Bank Negara,” katanya tentang wang keluar itu.
“Satu bilion dolar dihantar dari Malaysia kepada usahasama itu dan pemindahan itu boleh berlaku kerana suami kepada gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.
“Jadi dalam tempoh semalaman wang itu dipindahkan, ia sesuatu yang pada ketika itu tidak pernah berlaku dahulu. BNM tak pernah memberikan kelulusan sebegitu cepat,” katanya.
Pada November, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura membabitkan akaun syarikat milik suami Zeti dan individu bernama Samuel Goh.
Suami Zeti, dan dua anaknya, mengaku mengetahui tentang wang 1MDB itu, menurut akuan berkanun yang ditandatangani pada Mac 2019.
Wang itu berada dalam akaun syarikat Cutting Edge Industries di Singapura dan mereka bertiga mengakui merupakan pemilik akaun itu.
SD itu, adalah tulen dan boleh dipercayai, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.