LONDON : Benarlah kata orang, jika satu-satu kes dibawa ke mahkamah, segalanya akan terdedah dan ‘terlondeh’ sendiri.
Agaknya kerana fakta inilah, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan skandal 1MDB mahu kesnya terus dibicarakan di mahkamah.
Sekali lagi rakyat dikejutkan dengan kisah ‘pelaku’ skandal ini iaitu rakan kepada Low Taek Jho (Jho Low) atau juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs Tim Leissner.
Beliau memberitahu mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam bahawa dia membeli rumah berharga AS$10 juta di London untuk bekas CEO Astro Rohana Rozhan.
Dengan pengakuan beliau, penulis tertanya-tanya adakah berita awal tidak disiarkan di Astro mengenai kebenaran sebenar ‘konspirator’ 1MDB, hipotesisnya kerana media pada era itu ‘sudah dibeli?’.
Tindakan itu dilakukan selepas diugut ‘kekasih gelapnya’ mengenai penglibatannya dalam skandal 1MDB.
Leissner berkata dia membelikan rumah berkenaan kepada Rohana di London pada 2013 bagi ‘meredakan’ rasa kecewa wanita itu selepas hubungan 10 tahun mereka diputuskan untuk dia mengahwini Kimora Lee Simmons.
Ibarat nilai kekecewaan itu adalah AS$ 1 juta bagi setahun hubungan.
Beliau mengaku bersalah pada 2018 kerana bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti-rasuah AS.
“Jika saya tidak membelikannya rumah itu, dia ugut mahu memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB.
“Dia mengugut untuk dedahkan penglibatan saya. Pada masa itu, pada 2013, saya sangat takut ia berlaku,” katanya seperti dilaporkan Bloomberg.
Leissner merupakan bekas ketua operasi Goldman di Asia Tenggara dan kini merupakan salah seorang saksi bagi perbicaraan Roger Ng, bekas ketua bank pelaburan itu di Malaysia.
Sebelum ini, beliau berkata Ng adalah pegawai utama Goldman dalam urusan melibatkan 1MDB dan mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan dari Pulau Pinang Low Taek Jho sejak 2008, di mana dia menjadi orang tengah antara bank itu dan 1MDB.
Pendakwa raya menuduh Ng menerima rasuah dalam bentuk jutaan dolar bagi membantu penyelewengan dana dari 1MDB.
Bagaimanapun, Ng mengaku tidak bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan undang-undang anti-rasuah membabitkan dana 1MDB.
Ketika memberi keterangan di mahkamah semalam, Leissner berkata hubungan sulitnya dengan Rohana adalah “isu sensitif” kerana bank itu juga menjalankan perniagaan bersama Astro.
Dia berkata bosnya ketika itu, bekas ketua Goldman Asia Richard Gnodde mengingatkannya supaya “berhati-hati dalam menjalinkan hubungan dengan klien”.