spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Belia alaf baharu kurang minat berpersatuan

- Advertisement -spot_img

KUALA LUMPUR : Belia alaf baharu bersama gajet mereka, lebih sukar untuk diajak berpersatuan, berbanding belia tanpa gajet.

Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, ia antara cabaran besar untuk menarik minat belia alaf baharu menyertai persatuan.

Ini kerana katanya, menggunakan gajet dan internet, golongan belia ini tidak perlu berkumpul di luar rumah.

Fahami Ashrof Badaruddin

“Mereka berkumpul, berbincang menerusi aplikasi Whatsapp Group, Facebook, Instagram dan lain-lain, semuanya secara maya.

“Hal itu yang menjadikan belia ini tidak melihat pentingnya aktiviti berpersatuan kerana mereka boleh lakukan apa-apa aktiviti berkumpulan secara jarak jauh sahaja.

“Ia sebenarnya perkembangan tidak sihat kerana ia membentuk golongan belia yang ‘negatif’, tidak peduli rakyat, tidak prihatin kepada yang lain, tidak peka isu semasa dan sebagainya,” katanya pada Makan Malam Bersama Majlis Kerja Tertinggi Gerakan Belia 4 B Malaysia dan Mesyuarat MKT 4B, di Hotel Sani, di sini malam ini.

Majlis yang dihadiri 40 wakil persatuan- persatuan di bawah Majlis Belia Malaysia itu dirasmikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas 1 Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Mahadhir Sulaiman.

Turut hadir, Pegawai Tugas-tugas Khas 11 Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Ramlan Haji Shahean @Askolani dan Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Dalam pada itu, Fahami memaklumkan, Gerakan Belia 4B menyediakan platform kepada calon-calon daripada seluruh persatuan untuk bertanding bagi Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia sesi 2022-2024.

Mesyuarat MKT 4B malam ini memperkenalkan calon-calon daripada seluruh persatuan yang bakal dipilih pada awal Mac nanti.

Mengulas lanjut cabaran belia alaf baharu, Fahami berkata, belia dahulu tiada peralatan gajet, jadi mereka lebih minat berpersatuan.

“Belia hari ini pula mereka lebih minat aktiviti yang tidak perlu keluar dari rumah atau kepompong mereka contohnya e-Sports atau jika ada aktiviti di luar rumah seperti bola sepak, hoki dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Gerakan Belia 4B menyediakan kursus-kursus kepimpinan, dalam masa sama menyediakan aktiviti ikut trend anak muda ini.

“Contohnya, bagi mereka yang minat e-Sports, kita anjurkan pertandingan untuk mengumpulkan dalam satu tempat tetapi pada masa dedahkan mereka kepada peranan persatuan.

“Menerusi pendekatan ini, diharapkan dapat menarik minat belia untuk menyertai persatuan,” katanya.

Sebagai rekod, Gerakan Belia 4B memiliki 200,000 keahlian seluruh negara sejak ditubuhkan 1946.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases