KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), yang telah berlangsung tadi, mengumumkan secara rasmi jawatan Presiden, Timbalan dan Naib Presiden (PSM).
Datuk Sumali Mohd Reduan kini telah sah diumumkan sebagai presiden PSM secara rasminya dalam AGM yang berlangsung di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.
Datuk Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) menang tanpa bertanding jawatan tersebut.
Ia susulan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah menarik diri, malah semua jawatan yang dicalonkan dalam PSM juga menang tanpa bertanding.
Datuk Sumali berkata, dengan kepercayaan yang diberikan untuk menerajui PSM ini, beliau akan melakukan kemajuan sukan sepak takraw dan berharap agar PSM akan mendapat pengiktirafan semula oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).
“Mengenai hala tuju atau manifesto akan dibincangkan dalam perjumpaan mesyuarat jawatankuasa pertama dalam masa terdekat, sebab mesyuarat agung kali ini, lebih pentingnya adalah menyelamatkan PSM dan mendapat pengiktirafan semula ASTAF,” Sumali.
Sehubungan itu, Bendahari Persatuan Sepak Takraw Perak, Syamsul Istar menyifatkan ia satu nafas baharu dalam pucuk pimpinan PSM yang akan diterajui oleh Datuk Sumali.
“Kita lihat pemilihan yang kali ini, merupakan satu nafas baharu bagi sepak takrawmalaysia, harap kepimpinan baharu ini Datuk Sumali, termasuk timbalan dan naib presiden dapat satu pasukan yang Bersatu hati, harapnya ada pembaharuan serta nafas baharu yang akan dibuat.
“Saya secara peribadi harapkan lebih kepada pemain itu sendiri dan pasukan sepak takraw kebangsaan, apa pun segala kebajikan pemain dan pasukan akan dijaga supaya boleh ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Pengarah Teknikal Sepak Takraw Malaysia, Abdul Talib Ahmad, menzahirkan ucapan tahniah kepada pucuk pimpinan yang baharu ini dan yakin dengan pengalaman yang diperolehi Sumali akan menjadikan PSM lebih maju .
“Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Sumali atas perlantikan jawatan Presiden ini, saya begitu yakin dengan kaliber Datuk Sumali untuk pucuk pimpinan baharu ini, kerana sebelum ini beliau mempunyai pengalaman untuk menerajui Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan,
“Beliau begitu komited dengan kerja yang diberi, diharap selepas perlantikan ini, kami akan berbincang daripada segi kejurulatihan sepak takraw bersama beliau untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Presiden Sepak Takraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Haji Abdullah pila menyifatkan kemampuan Datuk Sumali untuk menerajui PSM tidak diragukan lagi malah beliau juga mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dan mampu menyelesaikan masalah yang berbangkit dalam persatuan.
“Bagi pihak Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan, kami mengucapkan jutaan tahniah dan berharap dengan kepimpinan oleh Datuk Sumali agar sukan sepak takraw terus maju kehadapan malah dapat mengecapi kejayaan untuk setiap pasukan.
“Dia seorang yang sangat merendah diri, serta bekerja kuat dan memikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikan segala permasalahan sepak takraw yang sering berbangkit, apabila dia memegang jawatan Presiden, perkara pertama yang dia memikirkan adalah bergabung dengan ASTAF.
“Kita sangat yakin dengan kemampuan Datuk Sumali, yang dia juga merupakan mantan naib presiden ASTAF, serta mempunyai hubungan baik bersama Datuk abdulah kadir dan mempunyai pengalaman, saya yakin PSM akan kembali bergabung dengan ASTAF,” luah Wan Husni.