Oleh Tun Puteh Wanti
BANGI, 5 Feb 2022– Sebanyak 11 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam mensasarkan sejuta tandatangan melalui talian dan juga secara fizikal dalam membantah penjualan arak secara berleluasa.
Petisyen tersebut bermula 5 Februari sehingga 5 Mac menerusi kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak.
Antara 11 NGO yang terlibat terdiri daripada Yayasan Maghfirah, Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Allieance of Civil Society Organisation (MACSA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Turut terlibat Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan Pemuda BERJASA.
Wakil NGO, Naib Presiden Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Mohd Noor Azib Asmangi berkata, sebagai sebuah negara Islam dan agama rasmi Islam tetapi masih membenarkan penjualan arak secara terbuka sehingga memudaratkan dan mendatangkan kematian, ia perkara yang amat memalukan.
“Seorang yang mabuk berisiko melakukan jenayah seperti meragut, merompak, merogol, membunuh dan sebagainya.
“Menjual, membeli dan meminum arak adalah salah ikut undang-undang syariah tetapi tiada penguatkuasaan diambil walaupun mereka minum secara terbuka, ada juga yang menyiarkan perbuatan mereka di media sosial.
“Mengikut statistik pada 2017 sebanyak 212 kemalangan berkait dengan pengambilan arak dan daripada jumlah sebanyak 58 kematian dilaporkan.
“Manakala 2018 pula, sebanyak 191 kemalangan dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 54 kematian berpunca pengambilan alkohol yang bebas.
“Ini adalah rekod yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi banyak lagi kes seperti pergaduhan, perceraian, keganasan rumah tangga, penderaan yang berpunca daripada pengambilan arak namun tidak dimasukkan secara rasmi oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan arak.
“Sehubungan itu, kempen ini dilancarkan untuk menuntut pihak berkuasa di peringkat nasional atau tempatan supaya menguatkuasakan serta memperketatkan undang-undang sedia ada berkaitan arak atau alkohol, selain pemantauan dan penguatkuasaan tegas terhadap pemandu,” katanya dalam ucapannya pada Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak yang dianjurkan oleh ISMA.
11 NGO berkenaan juga membuat empat tuntutan menerusi kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak bagi menghentikan penjualan arak secara berleluasa di negara ini.
Empat tuntutan itu adalah menuntut kerajaan agar menetapkan polisi komuniti bebas arak supaya tiada lagi program-program menghidangkan arak secara terbuka dan umum.
Gabungan juga menuntut pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasakan dan memperkemaskan undang-undang berkaitan arak serta memperketatkan lagi syarat-syarat membeli dan menjual arak.
Selain itu, menuntut PBT agar tidak membenarkan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka di kawasan majoriti Muslim.
Gabungan juga menuntut pihak berkuasa membuat pemeriksaan dan pemantauan yang lebih ketat dan lebih kerap ke atas pemandu-pemandu terutama waktu malam.